Siakap Keli

Apa Itu “No-fly Zone”, Kenapa NATO & Amerika Berkeras Tak Nak Isytihar Di Ukraine? Ini Jawapannya

Zon larangan terbang atau no-fly zone biasanya akan diisytiharkan ke atas sesuatu ruang udara untuk melindungi penduduk, khususnya ketika dalam konflik atau peperangan. Bagaimanapun, timbul persoalan ketika ini, kenapa tiada pihak, khususnya Amerika Syarikat dan NATO, yang mahu mengiytiharkan perintah yang sama di Ukraine yang ketika ini sedang berkonflik dengan Rusia?

Malah Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy pada Isnin, sekali lagi menggesa NATO dan Amerika Syarikat untuk mengenakan no-fly zone ke atas negaranya. Beliau mendakwa, usaha tersebut akan melindungi bukan sahaja akan rakyat Ukraine tetapi turut memelihara negara-negara NATO daripada serangan udara Rusia.

Tetapi, Amerika Syarikat dan NATO menolak permohonan tersebut atas alasan sama yang mereka sebutkan sejak Moscow menyerang Ukraine pada 24 Februari yang lalu. Jadi apakah alasannya?

Apakah zon larangan terbang?

Ia adalah larangan ke atas semua atau beberapa jenis pesawat tertentu daripada terbang melalui ruang udara yang ditetapkan, di atas sesebuah negara atau wilayah.

Zon tersebut memerlukan satu atau lebih pihak yang bersetuju untuk menguatkuasakannya – iaitu, bersedia dan boleh menembak jatuh mana-mana pesawat yang melanggar ruang tersebut.

Usaha tersebut pernah digunakan dalam percubaan untuk mengehadkan konflik yang berterusan dan untuk melindungi populasi tertentu. Tetapi kos untuk melaksanakan zon larangan terbang tersebut mahal dan memerlukan rondaan dan pemantauan udara secara berterusan.

Apakah yang akan dicapai oleh zon larangan terbang di Ukraine?

Sekiranyan NATO mengisytiharkan zon larangan terbang di Ukraine, ini bermakna Rusia tidak lagi memiliki penguasaan udara di negara tersebut. Pada masa yang sama, Ukraine juga tidak boleh menerbangkan pesawatnya atau menggerakkan operasi dronenya untuk menyerang kedudukan tentera Rusia, yang ketika ini begitu efektif.

Ia bagaimanapun, akan membenarkan orang awam untuk melarikan diri dari konflik dengan lebih selamat dan mengelak daripada menjadi korban peperangan.

Mengapa tidak melakukannya?

Amerika Syarikat dan NATO berulang kali menegaskan bahawa pengisytiharan zon larangan terbang oleh mereka bermakna negara itu dan NATO akan terlibat secara langsung dalam peperangan di Ukraine. Berdepan dengan kuasa nuklear seperti Rusia boleh menjerumuskan negara-negara yang terlibat ke dalam kancah peperangan yang lebih dahsyat.

Kenapa? Untuk memastikan pengisytiharan zon larangan penerbangan dapat dikuatkuasakan di Ukraine, Amerika Syarikat dan NATO perlu mengerahkan aset mereka seperti jet tempur untuk mengawasi ruang udara itu.

Ini bermakna, Amerika syarikat dan NATO perlu bersedia untuk menembak jatuh mana-mana pesawat yang menceroboh zon larangan tersebut, dalam kes ini sudah tentulah jet tempur Rusia. Menembak pesawat Rusia, bermakna Amerika Syarikat dan NATO akan terlibat secara langsung dalam konflik ini.

“Jika kami berbuat demikian, perang skala besar di Eropah boleh meletus, melibatkan lebih banyak negara dan menyebabkan lebih banyak penderitaan manusia. Jadi itulah sebab mengapa kami terpaksa mengambil keputusan yang berat ini,” kata Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg pada 4 Mac.

Alasan ini dikuatkan lagi apabila sehari kemudian, Presiden Rusia, Vladimir Putin berkata mana-mana negara yang menguatkuasakan zon larangan terbang di Ukraine “akan dianggap sebagai pihak yang terlibat secara langsung dalam konflik ini oleh Rusia”.

BACA: Onn Hafiz Sah Angkat Sumpah Sebagai Menteri Besar Johor

Sumber: The Guardian

Zahirah