Siakap Keli

Tiada Yang Nak, Kenali Bir Tawil, Tanah Lapang Tak Dituntut Mana-mana Negara Hingga Hari Ini

Kalau sebut sahaja mengenai Afrika, apa yang kita bayangkan adalah keunikan masyarakatnya dan keindahan alam yang berbeza dengan kawasan-kawasan lain. Setiap wilayah yang terdapat di situ mempunyai kisahnya yang tersendiri, misalnya wilayah Bir Tawil ini.

Apa kisah menarik mengenai Bir Tawil ini, wilayah milik siapa dan dimana? Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, mari kita rungkaikan persoalan ini.

Segitiga Ini Merupakan Tanah Tak Dituntut Terbesar Di Dunia

Segitiga Hala’ib ialah kawasan tanah seluas 20,580 kilometer persegi atau 7,950 batu persegi yang dituntut oleh Mesir dan Sudan. Tetapi terdapat juga segitiga kedua, lebih kecil, dipanggil sebagai Segitiga Bir Tawil.

Segitiga Bir Tawil merupakan kawasan yang berdekatan dengan segitiga Hala’ib. Tetapi, segitiga ini adalah lebih kecil dan tidak dituntut oleh mana-mana negara hingga ke hari ini.

Asal Usul Mula Pertikaian

Segitiga Bir Tawil merupakan salah satu pertikaian wilayah utama dunia. Ia terhasil daripada dua sempadan era Empayar British yang ditetapkan diantara kedua-dua negara.

Pada masa itu, terdapat Perjanjian Kondominium Mesir 1899, di mana kedua-dua British dan Mesir mempunyai kedaulatan dan pentadbiran ke atas satu kawasan yang kini dikenali sebagai Sudan. Ketika ini, Mesir sebenarnya pada masa yang sama masih dibawa penguasaan British.

Perjanjian Kondominium Mesir 1899 merujuk kepada kerjasama atau pakatan dua negara, iaitu Mesir dan British yang menuntut atau mengakui kedaulatan ke atas satu wilayah iaitu Sudan ketika itu.

Manakala konsep perjanjian kondominium dalan undang-undang antarabangsa pula biasanya merujuk kepada penguasaan gabungan kuasa dominan, 2 negara atau lebih, ke atas sesuatu wilayah. Salah satu aspek dalam perjanjian ini adalah, sesuatu wilayah yang dituntut secara bersama itu menjadi wilayah berdaulat negara penuntut secara bersama. Jadi, setiap negara mempunyai hak untuk menzahirkan kekuasaan masing-masing ke atas wilayah berkenaan berdasarkan penjanjian kondominium yang ditandatangani.

Jadi, Sudan ketika itu merupakan sebuah negara dibawah penguasaan British-Mesir di bawah Perjanjian Kondominium Mesir 1899 dan sebahagian daripada Empayar British.

Ia kemudiannya menyebabkan terwujudnya 2 sempadan iaitu ‘sempadan politik’ Kondominium British-Mesir 1899 yang terletak di sepanjang utara selari ke-22 dan satu lagi ‘Sempadan Pentadbiran’ 1902 Empayar British.

Staus Quo

Kewujudan dan pertindihan yang ada dalam kedua-dua garisan sempadan ini tidak begitu penting pada waktu itu memandangkan kedua-duanya dibawah Empayar British, sehinggalah Sudan mencapai kemerdekaan pada 1956 dan mula menuntut kedaulatan ke atas mana-mana wilayah yang dirasakan haknya.

Mesir menentukan sempadan negaranya berdasarkan Perjanjian Kondominium Mesir-British 1899, manakala Sudan pula menuntut wilayah berdasarkan Sempadan Pentadbiran Empayar British 1902.

Berdasarkan pertikaian ini, kedua-duanya mendakwa Segitiga Hala’ib sebagai wilayah masing-masing, dan meninggalkan Segitiga Bir Tawil tidak dituntut oleh mana-mana pihak.

Bagaimanapun pada 1994, Segitiga Hala’ib berada dibawah Mesir selepas dikuasai oleh negara itu dan kekal disana sehingga ke hari ini. Malah, Mesir juga enggan membawa pertikaian ini ke Mahkamah Timbang Tara dan melayan permintaan Sudan untuk berunding.

Ringkasnya, Segitiga Hala’ib dikuasai Mesir tetapi dituntut oleh Sudan. Manakala Segitiga Bir Tawil tidak dituntut oleh mana-mana pihak.

Menurut Perjanjian Kondominium Mesir-British 1899, Segitiga Hala’ib (berpenduduk) berada di dalam wilayah Mesir, manakala Segitiga Bir Tawil (tidak berpenduduk) di Gurun Sahara di wilayah Sudan.

Sebaliknya, berdasarkan Sempadan Pentadbiran British 1902, Segitiga Hala’ib berada dalam wilayah Sudan, manakala Segitiga Bir Tawil berada di Mesir.

Sekiranya salah sebuah negara, tidak kira Mesir atau Sudan, akur dan mengiktiraf satu sempadan sahaja, maka salah sebuah negara ini akan kehilangan penguasaan ke Segitiga Hala’ib yang berpenghuni dan lebih makmur.

Pada masa yang sama, negara tersebut hanya mendapat Segitiga Bir Tawil yang tandus, sunyi dan tidak berpenghuni.

Segitiga Bir Tawil Yang Tak Dituntut

Nama Segitiga Bir Tawil bermaksud ‘Telaga Air Tinggi’ dan dikenali sebagai ‘terranullius’, iaitu ungkapan undang-undang Latin untuk ‘tanah bukan milik siapa’.

Segitiga ini dianggap sebagai sebidang tanah boleh didiami terbesar di bumi yang tidak dituntut oleh sesiapa pun.

Mempunyai keluasan sebanyak 2,060 kilometer persegi, Segitiga Bir Tawil yang sebenarnya lebih berbentuk empat segi.

British memasukkan segitiga ini ke dalam ‘sempadan pentadbiran’ mereka adalah kerana sempadan itu sepatutnya menggambarkan penggunaan sebenar tanah oleh puak-puak di rantau ini.

Tanah Bir Tawil dikatakan sebagai tanah ragut yang digunakan oleh suku Ababda yang berpusat berhampiran Aswan di Mesir.

Oleh sebab itulah British berpendapat wilayah itu lebih layak ditadbir oleh Mesir.

Bagaimana Pula Dengan Segitiga Hala’ib?

Orang-orang yang tinggal di Segitiga Hala’ib secara budayanya lebih mirip dengan orang-orang Sudan. Oleh itu, British berpendapat segitiga tersebut lebih baik ditadbir oleh Sudan.

Pernah berlaku satu kejadian pada tahun 2017 apabila seorang pengembara dari India yang ingin membuat tuntutan terhadap segitiga tersebut dan menggelarkannya sebagai raja. Dia pernah berkata bahawa dia akan pergi ke Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu untuk membuat tuntutan tersebut yang pada akhirnya tidak berjaya.

Dilaporkan sudah bertahun-tahun orang ingin menuntut segitiga tersebut, tetapi tiada pihak berkuasa antarabangsa pernah mengiktiraf dakwaan ini, memetik daripada laporan Yahoo! News.

Sumber : Youtube Asamations, thetravel.com, Yahoo! News

Fathin Nadzira