Siakap Keli
Gambar Twitter Pakatan Harapan

PH Akui Kelemahan PRN Johor Kali Ini

Majlis Presiden Pakatan Harapan (MPPH) mengakui kelemahan keputusan PRN Johor baru-baru ini atas faktor pertandingan pelbagai penjuru, logo, peratusan keluar pengundi yang rendah serta aspek penerangan dan komunikasi.

MPPH berkata demikian dalam satu kenyataan bersama melibatkan pemimpin-pemimpin parti iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng hari ini.

“Pakatan Harapan (PH) akan berusaha mengatasi kelemahan-kelemahan ini dengan segera terutama dengan mengatur semula strategi bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15.

“Kelemahan-kelemahan ini tidak boleh diatasi oleh satu parti atau dengan satu ikhtiar sahaja, tetapi perlu diurus bersama dan secara menyeluruh.

“Oleh hal demikian, beberapa perkara akan dilaksanakan segera termasuk konvensyen dan permukiman pimpinan pakatan harapan untuk menggilap semula idealisme perjuangan PH dan penyokong-penyokongnya serta membincangkan persiapan keseluruhan bagi menghadapi PRU15,” maklum kenyataan itu.

Dalam pada itu, PH juga turut akan berusaha merangkul seluruh kekuatan yang sedia menolak kerakusan dan rasuah demi membina kerjasama di kalangan parti-parti pembangkang agar dapat bersama dalam usaha menolak Barisan Nasional (BN).

“Parti-parti pembangkang tidak harus bertanding hanya di kawasan PH yang akan mengurangkan undi PH lalu secara tidak langsung meningkatkan peluang kemenangan BN.

“Kami terus bertekad menetapkan dasar-dasar ekonomi mampan yang mampu menyelesaikan masalah- masalah rakyat seperti isu pengangguran, kos sara hidup, pengurusan pandemik COVID-19 termasuk isu SOP dan kompaun pelanggaran, kenaikan tarif elektrik untuk perniagaan, tambahan cukai dan kehimpitan hidup rakyat.

“Negara kita mesti diselamatkan dari gejala rasuah dan urustadbir yang pincang,” tambah kenyataan itu.

Dalam pada itu, MPPH juga turut menegaskan bahawa Rang Undang-undang Anti-Lompat Parti perlu dibentang dan diluluskan pada mesyuarat Parlimen itu sepertimana yang dijanjikan oleh Perdana Menteri.

“Pimpinan utama PH akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri dalam masa yang terdekat,” jelasnya.

Sumber : Twitter Pakatan Harapan

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?