MELAKA, 26 Okt (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) akan melaksanakan kempen berhemah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan memberi penjelasan kepada rakyat mengenai inisiatif Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Setiausaha PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kejayaan dan inisiatif kebajikan dilaksanakan kerajaan perlu disampaikan dengan cara terbaik kepada pengundi agar mereka yakin untuk memilih calon daripada pakatan itu.
“Kita tak mahu menang kempen pilihan raya dengan maki hamun, kita tak mahu. Itu bukan cara Parti Keadilan Rakyat (PKR) ... kita bukan nak menang pilihan raya hasil daripada adu domba, pecah belah... itu biar pihak lain, mereka nak menang cara itu, silakan.
“Politik kita berbeza. Politik kita, politik yang ajak kepada kedamaian. Kasih sayang, perpaduan. Barulah politik itu ada nilai. Barulah politik itu ada sifat ibadah,” katanya yang juga Naib Presiden PKR ketika berucap merasmikan Bilik Gerakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput di Krubong di sini malam ini.
Turut hadir Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka Adam Adli Abd Halim dan calon PH bagi kerusi DUN Paya Rumput Datuk Azman Abidin.
Saifuddin Nasution yang juga Menteri Dalam Negeri berkata antara kejayaan itu ialah kedudukan Malaysia yang kini berada di tangga ke-12 paling selamat di dunia untuk dilawati, sekali gus membuktikan keupayaan kerajaan mengawal keselamatan negara.
Selain itu, bantuan persekolahan RM200 bagi 5.2 juta pelajar dan murid di seluruh negara boleh menyentuh hati pengundi menerusi agenda kebajikan yang dilaksanakan oleh kerajaan.
“Kalau ada tiga orang anak, (satu keluarga dapat) RM600 tunai. Baju sekolah, kasut sekolah, pakaian sukan, beg sekolah, peralatan sekolah, insya-Allah selesai. Ibu bapa tak payah fikir lagilah.
“Perdana Menteri tolong fikir (masalah berkaitan persekolahan) dan tolong selesaikan. Itu contoh kecil yang melekat dan dirasai oleh setiap isi rumah sebab mereka ada anak sekolah,” katanya.
-- BERNAMA

