Siakap Keli
Gambar hiasan via Bernama

Wilayah Persekutuan Boleh Solat Rapatkan Saf, Berbuka Puasa Di Masjid & Surau Mulai 1 April Ini

Seluruh warga Wilayah Persekutuan yang beragama Islam yang mendirikan solat di masjid dan surau sudah boleh rapatkan saf mulai 1 April ini.

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mengumumkan sedemikian dalam satu kenyataan mengenai senarai ketetapan terkini aktiviti mengimarahkan masjid.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh pengarahnya, Datuk Haji Mohd Ajib Ismail menerusi satu kenyataan media yang dimuat naik ke Twitter JAWI sebentar tadi.

Menurut kenyataan tersebut, pihak JAWI telah menetapkan enam perkara seperti berikut:-

1. Dibenarkan solat berjemaah tanpa penjarakan fizikal atau saf dirapatkan.

2. Jemaah digalakkan membawa dan mengunakan sejadah sendiri.

3. Kehadiran ke masjid dan surau dibenarkan tanpa had umur kepada yang telah menerima vaksinasi Covid-19.

4. Masjid dan surau dibenarkan untuk melaksanakan Solat Sunat Tarawih 20 rakaat pada bulan Ramadan. Manakala Qiamullail dibenarkan untuk diadakan di masjid dan surau mulai tengah malam.

5. Majlis berbuka puasa, moreh dan sahur dibenarkan untuk diadakan di masjid dan surau serta makanan digalakkan untuk disediakan secara berbungkus.

6. Dibenarkan aktiviti tadarus al-Quran di masjid dan surau serta boleh dilaksanakan  pada mana-aman waktu bersesuaian dalam bentuk kumpulan kecil.

BACA JUGA: Solat Jemaah Rapat Saf, Berita Baik Untuk Menyambut Ramadan – Menteri Agama

Penting untuk dimaklumi, ketetapan-ketetapan terkini aktiviti pengimarahan masjid ini hanya berkuatkuasa kepada Wilayah Persekutuan sahaja.

“Semua kebenaran tersebut tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan selaras dengan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Semoga lebih ramai jemaah dapat mengimarahkan masjid dan surau di Wilayah-Wilayah persekutuan dan terus bermunajat dan berdoa agar penularan wabak Covid-19 segera dibendung.

“Semoga Malaysia sentiasa mendapat perlindungan dan kesejahteraan daripada Allah S.W.T,” jelasnya dalam kenyataan tersebut.

Terdahulu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad telah memaklumkan mengenai kebenaran rapatkan saf dalam solat pada awal Mac baru-baru ini.

Katanya, pengumuman Perdana Menteri berkaitan aktiviti solat jemaah di masjid atau surau boleh solat rapat saf adalah sesuatu yang amat dinantikan oleh umat Islam.

“Pengumuman ini dibuat berasaskan fakta dan data, juga setelah mengambil kira pelbagai faktor termasuk penilaian risiko daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pandangan yang dikemukakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Ia adalah berita gembira buat umat Islam untuk menyambut bulan Ramadan nanti.

“Walaubagaimanapun, pelaksanaan perkara ini dan SOP akhir untuk masjid atau surau tertakluk kepada ketetapan pihak berkuasa agama negeri-negeri,” katanya, memetik laporan terdahulu.

BACA JUGA: (Video) Seakan Pintu Masjid Nabawi, Keindahan Surau Taman Hasil Derma Orang Ini Ramai Buat Netizen Terpukau

Sumber: JAWI   

Faiz Mustafa