Siakap Keli
simptom covid-19 tapi negatif
Gambar Hiasan via Google

Doktor Ini Jelaskan Kenapa Ada Simptom COVID-19 Tapi Keputusan Negatif

Sebilangan daripada kita pernah mengalami simptom COVID-19 tapi mendapat hasil negatif menerusi kit ujian pantas antigen (RTK-Ag).

Tidak dinafikan, ramai yang bergejala mendapat keputusan positif, tapi apakah yang ‘menyerang’ mereka yang memperoleh keputusan negatif namun berdepan simptom hampir sama seperti pesakit COVID-19.

Menjawab persoalan ini, perunding pakar perubatan dari London, Dr Philip Lee menjelaskan sebab semakin ramai individu menghidap simptom seperti selesema semasa penularan wabak COVID-19.

Gambar Hiasan via Google

Jangkitan virus influenza

Seperti yang kita tahu, pesakit COVID-19 turut menunjukkan simptom-simptom yang sama dengan influenza. Influenza merupakan jangkitan virus yang menyerang sistem pernafasan manusia seperti hidung, tekak dan paru-paru.

Menurut Dr Lee, influenza selalunya muncul pada cuaca yang lebih sejuk, antara bulan Disember hingga Mac. Ketika ini, udara menjadi lebih kering dan kebanyakan orang meluangkan masa di dalam rumah.

Namun jelas Dr Lee memetik laporan Mirror, wabak influenza atau flu kali ini sepertinya bertahan lebih lama berbanding kebiasaannya.

“Flu agak lewat tahun ini. Biasanya kami menjangkakan flu akan hilang menjelang sambutan Easter (permulaan musim bunga), tetapi kami lihat lebih ramai pesakit diuji positif untuk wabak flu, serta virus selesema biasa yang lain,” kata Dr Lee.

Respiratory syncytial virus (RSV)

Virus lain yang masih wujud ketika ini termasuk respiratory syncytial virus (RSV), seperti diingatkan oleh Agensi Keselamatan Kesihatan United Kingdom (UKHSA). UKHSA menjangka RSV akan menyebabkan gejala ringan seperti selesema.

Sementara itu, perunding pakar epidemologi UKHSA, Dr Conall Watson berkata, RSV boleh jadi berbahaya untuk golongan bayi.

Gambar Hiasan via Google

“Bagi kebanyakan orang, RSV adalah selesema biasa, tetapi ia mudah merebak dan menjadi punca utama bronkiolitis, iaitu keradangan pada saluran pernafasan paru-paru bayi,” ujar Dr Watson.

Dalam kebanyakan kes, influenza dan RSV biasanya hilang dengan sendirinya. Walaupun demikian, ia boleh membawa kepada masalah pernafasan dan kemasukan ke hospital pada kanak-kanak kecil, bayi dan sesiapa sahaja yang mempunyai masalah pernafasan.

Wabak Norovirus

Satu lagi virus yang menunjukkan peningkatan kes dalam beberapa minggu kebelakangan ini ialah norovirus. Norovirus adalah wabak yang memberi kesan kepada perut.

Mereka yang tertular virus ini selalunya menunjukkan gejala muntah dan cirit-birit. Norovirus sangat mudah berjangkit namun pesakit biasanya sembuh dalam beberapa hari.

Menurut pengarah bahagian patogen gastrointestinal dan keselamatan makanan UKHSA, Profesor Saheer Gharbia wabak norovirus kini kembali merebak.

“Norovirus, biasanya dikenali sebagai pepijat muntah musim sejuk, berada pada tahap jangkitan yang lebih rendah daripada biasa sepanjang pandemik, namun apabila orang ramai kembali bertemu, penularan wabak ini meningkat semula,” jelas Profesor Gharbia.

Gambar Hiasan via Google

Perbezaan utama wabak-wabak ini adalah masa yang diambil untuk ia bertindak. Flu biasanya datang secara tiba-tiba atau mengambil masa satu hingga dua hari selepas tertular.

Berbeza pula dengan COVID-19 yang menunjukkan gejala dalam tempoh dua hingga 14 hari selepas pesakit terdedah kepada virus berkenaan.

Sementara dalam kes norovirus, simptom yang muncul selaunya adalah loya secara tiba-tiba, muntah dan cirit-birit.  Jika anda tertular norovirus, anda disyorkan untuk tetap tinggal di rumah 48 jam selepas gejala hilang sepenuhnya.

Sumber: Mirror

Eyla Azri

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.