Siakap Keli
marc marquez

Marc Marquez Kemalangan, Melambung Tinggi Ke Udara Dalam Sesi ‘Warm UP’ MotoGP Indonesia

Pelumba MotoGP, Marc Marquez mengalami kemalangan ketika menjalani sesi Warm Up di MotoGP Indonesia 2022 hari ini.

Menurut GridOto, Marquez pada awalnya berjaya menduduki tempat keempat tetapi malangnya dia mengalami kemalangan pada penghujung sesi itu.

Menerusi video yang dimuatnaik di media sosial, Marquez mengalami rempuhan sisi tinggi ketika menunggang motosikalnya di selekoh tujuh.

Pelumba Repsol Honda itu tercampak tinggi ke udara dan jatuh di atas batu kelikir dengan hentaman yang sangat kuat.

Bagaimanapun, Marc Marquez yang mengalami kemalangan tadi dapat bangun semula dan berlari selepas kemalangan yang dahsyat itu dan dia segera dibawa ke pusat perubatan.

Namun, motosikal Honda RC213V miliknya mengalami kerosakan yang teruk akibat rempuhan itu.

Mengalami gegaran otak

Dalam kemas kini terbaru, juara dunia enam kali itu dilaporkan tidak akan beraksi di dalam perlumbaan pada kali ini.

Pasukan Honda berkata Marquez telah diisytiharkan tidak sihat selepas pemeriksaan dilakukan di hospital tempatan dan oleh kakitangan litar.

Pelumba itu dianggap mengalami gegaran otak akibat kemalangan tersebut, lapor Times of India.

Dia sepatutnya bermula dari tempat ke-14 dalam grid selepas dinaikkan satu tempat kerana penalti grid tiga tempat untuk pemandu Yamaha, Franco Morbidelli.

Sementara itu disebalik insiden rempuhan tersebut, sesi Warm Up itu berjalan dengan sangat lancar. Cuaca cerah dan trek kering membolehkan pelumba memaksimumkan kelajuan mereka.

Dalam sesi itu, Fabio Quartararo berjaya menjadi yang terpantas dan menduduki tempat pertama.

Pemenang MotoGP 2021 itu berjaya dengan catatan masa 1 minit 32.001 saat iaitu lebih pantas di hadapan Maverick Vinales yang berada di kedudukan kedua.

Kedudukan ketiga pula disandang oleh Miguel Oliveira yang ketinggalan hampir setengah saat di belakang juara MotoGP 2021.

Penganjur dilaporkan telah mengumumkan perlumbaan itu akan dikurangkan daripada 27 pusingan kepada 20 pusingan kerana kebimbangan terhadap keselamatan tayar yang disebabkan oleh haba melampau di litar tersebut.

MotoGP Indonesia 2022 ini diadakan di Litar Jalanan Antarabangsa Pertamina Mandalika buat pertama kalinya selepas 25 tahun Grand Prix terakhir negara itu.

 

Sumber: GridOto

Sofea

There's always another side to every story