Siakap Keli

Inisiatif Penghutanan Semula Peringkat Nasional Diteruskan Dengan Usaha Memperkasakan Pemuliharaan Hijau Oleh MPOGCF

KUALA LUMPUR, 21 Mac 2022 – Sambutan Hari Hutan Antarabangsa menjadi lebihbermakna buat Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) tahun ini dengan usaha-usaha memperkasakan pemuliharaan hijaunya, selaras dengan agenda nasional melalui Program Penghijauan Malaysia, dengan pelaksanaan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok pada tahun 2021 yang dilancarkan untuk menangani perubahan iklim serta meningkatkan kualiti hidup rakyat, bersesuaian dengan tema sambutan, “Hutan Untuk Kesejahteraan Masyarakat.”

Sebagai sebuah agensi kerajaan di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), MPOGCF memulakan, bekerjasama dan menyokong inisiatif pemuliharaan alam sekitar serta amalan mampan yang berkaitan dengan dan dalam industri minyak sawit Malaysia, untuk mencerminkan komitmen industri dalam pemuliharaan hijau dan seterusnya menggalakkan kelestarian sumber hutan negara.

“Untuk mencapai objektif bagi setiap usaha penghutanan semula yang kami laksanakan, kami telah bekerjasama dengan pelbagai rakan kongsi dan pakar dalam perhutanan sejak beberapa tahun yang lalu, untuk meningkatkan usaha ini sambil membantu memberi tumpuan kepada pemeliharaan dan pemuliharaan hutan negara kita, dan meningkatkan penanaman pokok di seluruh negara,” kata Zamakhshari Muhamad, Pengurus Besar
MPOGCF.

“Kami telah mencapai kemajuan yang memberangsangkan di kawasan hutan yang dikenal pasti sebagai kawasan hutan terosot di Kawag, Hutan Simpan Ulu Segama-Malua di Sabah dengan 29,044 pokok ditanam setakat ini, iaitu sebahagian daripada penanaman 80,000 anak benih dalam lingkungan 200 hektar yang dijangka siap pada awal bulan April. Usaha ini adalah sebahagian daripada Program Penanaman 1 Juta Pokok Hutan, salah sebuah program kami yang sedang berjalan dan berimpak tinggi setakat ini,” tambah Zamakhshari.

Dengan anggaran pelaburan sebanyak RM 28 juta, Program Penanaman 1 Juta Pokok Hutan merupakan projek berdurasi 10 tahun dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Sabah. Program ini memberi tumpuan kepada penanaman dan pembiakan spesies hutan asli dan pokok buah-buahan asli, bagi memperkayakan biodiversiti hutan di kawasan terpilih yang berfungsi sebagai koridor hidupan liar yang penting dalam tempoh jangka masa panjang.

Daripada pelbagai program yang telah dimulakannya, MPOGCF juga pada masa ini memberi tumpuan kepada sebuah lagi program berimpak tinggi, iaitu Penghutanan Semula Rangkaian Ekologi Central Forest Spine (CFS) di Kelantan, hasil kerjasama dengan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan untuk menukar dan menyambungkan semula hutan-hutan di Semenanjung Malaysia. Dengan anggaran RM 25 juta dana yang telah diperuntukkan oleh MPOGCF, program ini menjangkakan penanaman 625,000 anak benih dalam lingkungan 1,000 hektar dilaksanakan pada bulan Julai.

Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif-inisiatif penghutanan semula serta program pemuliharaan yang lain oleh MPOGCF, layari www.mpogcf.org/our-projects.

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa