Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu memperkukuh kerjasama menerusi kerangka Waad Nasional bagi memastikan pembangunan negara yang mampan, adil dan seimbang, sekali gus meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu menjadi antara tumpuan Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri ke-150 yang dipengerusikannya hari ini.
Menurutnya, mesyuarat berkenaan turut membincangkan Belanjawan MADANI 2027, termasuk cadangan Waad atau covenant sebagai mekanisme untuk memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri.
“Dalam mendepani ketidaktentuan ekonomi global, unjuran pertumbuhan ekonomi negara dan persoalan turun naik harga minyak dunia, belanjawan ini perlu terus membela rakyat, menangani kos sara hidup serta mengambil kira keutamaan setiap negeri, termasuk aspek keselamatan sempadan, terutamanya di Sabah dan Sarawak,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, penyelarasan perancangan dan peruntukan berdasarkan keperluan sebenar di lapangan penting bagi memastikan penyampaian perkhidmatan awam, pembangunan infrastruktur, pengukuhan ekonomi negeri serta pelaksanaan projek yang memberi manfaat langsung kepada rakyat terus diberi keutamaan.
Selain pembangunan ekonomi, beliau berkata, mesyuarat itu turut menyentuh kepentingan kriptografi pascakuantum dalam memperkukuh perlindungan data dan sistem digital negara bagi menghadapi perkembangan teknologi serta ancaman keselamatan siber pada masa hadapan.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata, Indonesia telah diminta mengambil tindakan segera dan berkesan bagi menangani aktiviti pembakaran terbuka susulan kebimbangan terhadap jerebu rentas sempadan.
Katanya, tindakan tegas penting kerana jerebu bukan sahaja menjejaskan kesihatan rakyat, khususnya murid dan pelajar, malah turut mengganggu kelancaran sesi persekolahan.

