Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kena "Prank", Anggota Penyelamat Terkejut Anjing Disangka Mati Tiba-Tiba Bangun Dalam Trak

Anjing Disangka Mati
Kredit: Nam Ta Khon Lew

Tingkah laku haiwan sememangnya sangat sukar untuk dijangka. Kadang kala ada saja gelagat yang membuatkan kita pening dan terkejut.

Seperti yang berlaku di Thailand baru-baru ini apabila seekor anjing disangka telah mati, namun sebaliknya berlaku. Menerusi video yang tular, anjing itu tiba-tiba bangun semula apabila telah dimasukkan di dalam trak milik anggota penyelamat.

Video tersebut dimuat naik pengguna Facebook, Nam Ta Khon Lew dan kini telah mendapat lebih 6 juta tontonan.

“Tolong! Siang hari yang menakutkan. Anggota penyelamat diganggu hantu anjing,” selorohnya di kapsyen video.

Anjing Disangka Mati

Dalam rakaman berkenaan, beberapa sukarelawan dilihat mengangkat seekor anjing yang kelihatan sudah mati dan dibalut dengan kain putih ke atas trak.

Bagaimanapun, sebaik sahaja trak itu bergerak, anjing berkenaan tiba-tiba bangun dan duduk, menyebabkan anggota penyelamat terkejut sebelum mereka akhirnya ketawa melihat kejadian tersebut.

Menurut sukarelawan Persatuan Penyelamat Kamphaeng Phet Khao Phap, Theera Phuengphat, 53, kejadian itu berlaku kira-kira jam 2.30 petang pada 4 Oktober lalu di belakang Universiti Rajabhat Kamphaeng Phet, kawasan Nakhon Chum, daerah Mueang.

Jelasnya, seorang penduduk telah menghubungi pasukan penyelamat untuk meminta bantuan mengalihkan bangkai seekor anjing yang terbaring di hadapan sebuah rumah sebelum mengebumikannya di lokasi lain, lapor Bangkok Post.

Anjing jantan yang masih muda itu kelihatan tidak bernyawa, menyebabkan anggota penyelamat membalutnya menggunakan kain putih sebelum meletakkannya di atas trak.

Bagaimanapun, kira-kira lima minit selepas perjalanan bermula, anjing tersebut secara tiba-tiba menunjukkan tanda-tanda masih hidup dan bangun semula.

Seorang sukarelawan yang duduk di belakang trak bersama anjing yang disangka mati itu begitu terkejut sehingga menyangka haiwan berkenaan adalah hantu, sekali gus mencetuskan gelak tawa dalam kalangan rakan-rakannya.

Apabila trak tersebut dihentikan, anjing itu terus melompat turun dan melarikan diri, seolah-olah sudah pulih sepenuhnya daripada keadaan yang dialaminya sebelum itu.

Kejadian tersebut membuatkan semua anggota penyelamat kehairanan.

Theera berkata, pihaknya masih tertanya-tanya mengenai kejadian tersebut kerana sepanjang menjalankan tugas sebagai anggota penyelamat, mereka tidak pernah berdepan dengan situasi seumpama itu sebelum ini.

Intipati
  • Anjing di Thailand disangka mati sebelum tiba-tiba bangun dalam trak penyelamat.
  • Sukarelawan mengangkat anjing berbalut kain putih selepas diminta mengalihkan bangkai haiwan itu.
  • Anjing tersebut kemudian melompat turun daripada trak dan melarikan diri selepas kenderaan dihentikan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan