Siakap Keli
pesawat china eastern airlines

Rakaman Detik-Detik Dipercayai Pesawat China Eastern Airlines Jatuh Menjunam Sebelum Terhempas

Satu rakaman yang memaparkan detik-detik dipercayai pesawat China Eastern Airlines MU5735 jatuh menjunam sebelum terhempas telah tular sejak semalam.

Video yang dikongsi oleh media tempatan itu menunjukkan pesawat tersebut jatuh menjunam ke arah darat berhampiran bandar Wuzhou di wilayah selatan Guangxi.

Dalam kejadian yang berlaku semalam, pesawat Boeing 737 itu telah terbang kira-kira 30,000 kaki, beberapa saat sebelum ia tiba-tiba menjunam secara menegak dan terhempas ke pergunungan terpencil.

Ia mencetuskan kebakaran yang cukup besar di pergunungan itu sehingga dapat dilihat pada imej satelit NASA, lapor New York Post.

Rakaman berasingan pula menunjukkan asap tebal dan api berkepul-kepul dari lokasi nahas selepas kejadian itu.

Tidak cuma itu, penduduk kampung juga dipercayai menemui serpihan dari pesawat yang bertaburan di wilayah tersebut.

Walaupun tiada maklumat awal mengenai jumlah mangsa yang maut dan cedera, China Eastern Airlines berkata pihaknya amat meratapi mereka yang berada di atas pesawat itu.

BACA: Pesawat China Eastern Airlines Bawa 133 Penumpang Dilapor Terhempas

“Syarikat merakamkan ucapan takziah kepada penumpang dan anak kapal yang terkorban dalam nahas pesawat ini,” kata syarikat penerbangan itu.

Sementara itu, penyiasat akan melihat banyak kemungkinan yang menjadi punca nahas itu.

Antaranya tindakan yang disengajakan seperti keganasan, isu teknikal, perlanggaran di udara dan bunuh diri melalui kemalangan.

Menurut pakar, keadaan pesawat yang jatuh secara menegak berkemungkinan disebabkan oleh kegagalan mekanikal.

“Kemungkinan besar pesawat itu kehilangan kuasa pada ketinggian penerbangan, mengakibatkan juruterbang kehilangan kawalan pesawat itu,” kata ketua editor Aerospace Knowledge, Wang Ya’nan.

Pesawat yang membawa 123 penumpang dan sembilan anak kapal itu berada dalam peringkat pelayaran yang merupakan waktu luar biasa untuk kemalangan.

“Biasanya pesawat menggunakan juruterbang automatik semasa peringkat pelayaran. Jadi sukar untuk memahami apa yang berlaku,” kata pakar penerbangan China, Li Xiaojin.

Kemalangan semasa fasa pelayaran penerbangan agak jarang berlaku walaupun fasa ini menyumbang sebahagian besar waktu penerbangan.

Boeing juga sebelum ini mengatakan bahawa hanya 13 peratus daripada kemalangan komersial maut di seluruh dunia antara tahun 2011 dan 2020 berlaku semasa fasa pelayaran.

Manakala 28 peratus berlaku pada pendekatan akhir dan 26 peratus semasa mendarat.

Terdahulu, pesawat China Eastern Airlines yang membawa 133 penumpang dilaporkan telah terhempas di pergunungan wilayah Guangxi, petang semalam.

Sumber: New York Post

Sofea

There's always another side to every story