Siakap Keli
Gambar via Bernama

Mangsa Banjir Boleh Tangguh Bayaran PTPTN, Ini Yang Anda Perlu Tahu Sebelum Mohon

Bencana banjir yang melanda negara baru-baru ini pastinya mendatangkan kesan terhadap mangsa-mangsa terjejas, terutamanya dari segi kewangan.

Untuk meringankan beban golongan yang terjejas banjir, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melaksanakan penangguhan bayaran balik pinjaman selama tiga bulan bagi para peminjam yang terkesan akibat bencana alam tersebut.

Bagi peminjam PTPTN yang terjejas banjir dan masih belum membuat permohonan penangguhan bayaran balik pinjaman, ini perkara yang anda patut tahu sebelum memohon.

penangguhan ptptn banjir

Apa itu penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN akibat banjir

PTPTN menyediakan kemudahan penangguhan bayaran balik kepada peminjam yang menghadapi kesukaran membayar balik pinjaman kerana terkesan bencana banjir. Penangguhan bayaran balik pinjaman ini akan diberikan kepada peminjam untuk tempoh tiga bulan bermula pada bulan pertama permohonan diluluskan pihak PTPTN.

Penangguhan bermula pada bulan yang sama kelulusan permohonan diberikan dan dua bulan ke hadapan dari bulan Disember 2021 hingga Mei 2022.

Bagi peminjam yang tidak terlibat dengan pembayaran pinjaman melalui potongan gaji, tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN akibat banjir mengikut bulan kelulusan adalah selama 3 bulan seperti berikut:

  • Disember 2021 – tempoh penangguhan Disember 2021 hingga Februari 2022
  • Januari 2022 –  tempoh penangguhan Januari hingga Mac 2022
  • Februari 2022 –  tempoh penangguhan Februari hingga April 2022
  • Mac 2022 –  tempoh penangguhan Mac hingga Mei 2022

penangguhan ptptn banjir

Cara memohon penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN akibat banjir

Permohonan penangguhan bayaran balik ini telah pun dibuka pada 28 Disember 2021 hingga 31 Mac 2022.

Untuk membuat permohonan, peminjam hanya perlu mengemukakan permohonan melalui portal rasmi PTPTN di pautan ini atau hadir ke mana-mana cawangan PTPTN yang berhampiran sepanjang tempoh permohonan dibuka.

Tiada sebarang dokumen sokongan yang diperlukan semasa permohonan dibuat.

penangguhan ptptn banjir

Kelulusan permohonan akan dimaklumkan pihak PTPTN melalui e-mel dalam tempoh tiga hari bekerja dari tarikh permohonan dihantar.

Sebarang pertanyaan berkaitan penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN boleh diajukan di live chat PTPTN di pautan ini atau hubungi careline di talian 03-2193 3000.

Selepas penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN tamat pada 31 Mac, peminjam masih boleh menikmati insentif diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN sehingga 31 April 2022.

Terdapat 3 insentif diskaun bayaran balik pinjaman yang boleh dinikmati iaitu:

  • Diskaun 15% atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman;
  • Diskaun 12% untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran; dan
  • Diskaun 10% untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau debit terus (direct debit) mengikut jadual.

Untuk maklumat lanjut, klik di pautan ini.

Eyla Azri