Siakap Keli
pelepasan benih anak ikan

Jabatan Perikanan Adakan Program Pelepasan Benih Ikan Serentak Seluruh Malaysia

Tasik Putrajaya, 24 Mac 2022 – Pelepasan benih ikan ke perairan umum secara serentak seluruh Malaysia telah diadakan di Tasik Putrajaya dengan kerjasama antara Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dan Perbadanan Putrajaya. Sebanyak 1.85 juta ekor benih bernilai lebih RM900 ribu bagi tujuan menambah stok perikanan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), YB Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata usaha sama pada hari ini adalah bagi memastikan matlamat untuk melestarikan alam sekitar serta pemuliharaan sumber dan biodiversiti perikanan darat khususnya di Tasik Putrajaya dapat dicapai.

Tambah beliau lagi, program pelepasan benih ikan ini dapat memberi kesedaran pada orang awam terhadap kepentingan memulihara ekosistem perikanan darat untuk generasi akan datang. Pertambahan stok ikan di perairan umum juga antara usaha bagi meningkatkan jaminan bekalan makanan.

Justeru beliau mengingatkan orang awam yang memiliki ikan asing sebagai ikan peliharaan agar lebih bertanggungjawab dan tidak melepaskan ikan tersebut ke perairan umum. Tindakan ini akan menyebabkan ikan-ikan di kawasan tersebut menjadi mangsa kepada ikan asing yang bersifat lebih agresif.

Pelepasan benih ikan merupakan program tahunan yang dibuat seluruh negara oleh Jabatan Perikanan Negeri sebagai langkah memastikan stok ikan darat sentiasa ada. Adalah penting bagi Jabatan Perikanan mengambil langkah yang konsisten secara serius dalam pengurusan dan pemuliharaan sumber perikanan darat kerana secara tidak langsung ia dapat meningkatkan sosioekonomi nelayan tempatan.

Antara benih yang dilepaskan adalah ikan kelah, temoleh, lampam sungai, baung, terbul, siakap dan udang galah dengan nilai lebih RM600 ribu.

Menyentuh kepada sekuriti makanan negara, Dr. Ronald menyatakan adalah tidak mustahil jika suatu hari nanti sumber perikanan darat turut mengalami kepupusan jika Jabatan Perikanan tidak mengurus tadbir secara berhemah. Ini akan memberi kesan kepada rantaian ekosistem kawasan perairan dan juga mengurangkan bekalan sumber perikanan darat untuk pengguna.

Mengikut rekod Jabatan Perikanan dari tahun 2016 hingga 2021, sebanyak 44.7 juta benih (bernilai lebih RM50 juta) telah dilepaskan ke perairan umum di seluruh Semenanjung Malaysia dan Wilayah Sarawak termasuk dari Jabatan Pertanian Sarawak.

Perbadanan Putrajaya secara rasminya telah memberi kerjasama teknikal bersama DOF bagi aspek Pengurusan Ikan sejak tahun 2006. DOF telah melepaskan lebih 160 ribu ekor benih ikan pelbagai spesies bagi manfaat kepada Tasik Putrajaya. Perbadanan Putrajaya pula telah menyerahkan sebanyak 78 ekor ikan induk spesies Temoleh, Tengalan, Jelawat, Lampam Sungai dan Baung yang ditangkap semasa Pertandingan Memancing kepada Jabatan untuk dijadikan sumber induk penghasilan benih ikan.

Secara tidak langsung Jabatan Perikanan Malaysia memilih Tasik Putrajaya sebagai bank ikan induk yang menghasilkan anak-anak ikan dan bertebaran membiak ke perairan umum Semenanjung Malaysia.

MAFI juga mengajak orang ramai untuk menjadikan ikan air tawar sebagai hidangan utama rakyat Malaysia disamping ikan laut. Kepelbagaian mengolah menu dan inovasi ikan air tawar dilihat sesuatu yang menarik seperti produk snowfish tilapia, nuget tilapia, keli bakar, patin pais dan minuman jus rumpai laut (seaweed juice).

Dr.Ronald turut menggalakkan setiap Jabatan Perikanan Negeri untuk mengadakan Kempen Makan Ikan Air Tawar di negeri masing-masing. Ini dapat menarik lebih ramai pengguna mengenali dan mencuba ikan air tawar selain keli, tilapia, patin yang sinonim dengan pengguna tempatan.

Datuk Jamal Abdillah yang dilantik sebagai Ikon Konservasi Sumber Perikanan akan terlibat sama dalam mempromosi program/aktiviti perikanan yang melibatkan konservasi perikanan dan produk perikanan terutamanya dalam industri ikan hiasan dan produk hiliran. Beliau juga telah mengusahakan ladang ternakan ikan arowana yang terletak di Bukit Merah lebih kurang 10 tahun dan mempunyai permintaan tinggi dari peminat ikan hiasan luar negara.

“Permintaan yang tinggi akan meningkatkan pengeluaran spesies ikan air tawar, sekali gus membantu penjanaan pendapatan penternak dan pengusaha produk Industri Asas Tani berasakan ikan air tawar dan mengurangkan kebergantungan kepada import,” kata beliau

Menjelang tahun 2030, kerajaan menyasarkan sumbangan sektor akuakultur sebanyak 40% kepada keseluruhan pengeluaran perikanan Malaysia.

Amira

Love yourself.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.