Kuala Lumpur – Buat masa ini mandat pelitup muka di Malaysia masih dikekalkan pengunaannya bagi memastikan Covid-19 mampu dikawal.
Kenyataan itu dimaklumkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin menerusi sidang media yang telah berlangsung sebentar tadi.
“Dalam keadaan tempat atau premis yang mempunyai kehadiran orang awam yang lain, pelitup muka masih perlu dipakai, termasuk indoor premis.
“Di sini saya akan jelaskan sedikit mengenai prosedur operasi standard (SOP) pelitup muka kerana masih ada yang beranggapan bahawa ketika beriadah pun perlu memakai pelitup muka.
“Pengecualian pemakaian pelitup muka yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah (di) kediaman sendiri, bilik hotel, bilik tempat penginapan dan tempat atau kemudahan awam yang tidak perlu berinteraksi dengan individu lain,” jelas beliau.
Selain itu, tambah Khairy dalam sidang media itu, ruang tempat kerja bersendirian serta aktiviti sukan, rekreasi dan riadah juga dibenarkan untuk tidak memakai pelitup muka.
Terdahulu, kuarantin bagi perjalanan antara Malaysia dan Singapura apabila masuk ke fasa endemik yang akan berkuat kuasa pada 1 April ini juga telah dimansuhkan, khusus kepada pengembara yang telah lengkap divaksinasi.
“Hari ini kedua-dua perdana menteri (PM) telah bersetuju membenarkan semua pengembara yang lengkap vaksinasi untuk merentas sempadan darat dan udara tanpa perlu menjalani kuarantin atau apa-apa ujian COVID-19 termasuk ujian pra-pelepasan dan semasa ketibaan.
“Ini adalah terpakai kepada semua jenis pengembara dan jenis pengangkutan darat,” katanya.
Maklum Khairy, kebenaran tersebut diberikan bersama beberapa protokol khusus yang telah ditetapkan.
Menurutnya, pengembara yang telah lengkap vaksin COVID-19 dibenarkan merentas sempadan darat antara Malaysia dan Singapura.
“Mereka tidak perlu lagi menjalani kuarantin, melakukan ujian COVID-19 sebelum berlepas dan melakukan ujian COVID-19 semasa ketibaan.
“Dan juga saya ingin memaklumkan bahawa checkpoint darat akan dibuka semula 24 jam sehari.
“Manakala bagi semua pengembara yang telah lengkap vaksin COVID-19 yang melalui sempadan udara, mereka hanya perlu melakukan ujian COVID-19 dua hari sebelum berlepas,” katanya.
Tambah Khairy lagi, bagi ujian COVID-19 tersebut, mereka hanya perlu menjalani ujian pantas RTK dan bukan lagi PCR.
BACA JUGA: Tiada Lagi Kuarantin, Ini Senarai Protokol Khas Pengembara Lengkap Vaksin
Sumber: Sidang Media KKM