Bagaimanakah Jabatan Meteorologi Malaysia atau MET Malaysia ‘mengukur’ segala jangkaan bencana atau fenomena alam di negara kita?
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kita dapat lihat banyak terjadinya bencana alam termasuklah impak gempa bumi, hujan lebat, banjir luar jangka, tanah runtuh, hujan batu dan banyak lagi.
Perasan atau tidak, sebelum atau ketika bencana ini berlaku, pasti pihak Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) akan mengeluarkan data atau ramalan mengenai bencana, bukan?
Apakah alat yang MET Malaysia gunakan untuk mengukur semua perkara tersebut daripada sudut suhu, kelebatan hujan dan sebagainya? Nak tahu, jom sama-sama kita terokai laman sesawang MET Malaysia.
Mengeksplorasi laman sesawang rasmi MET Malaysia, jabatan ini menyenaraikan tujuh jenis peralatan meteorologi yang digunakan untuk mengukur fenomena-fenomena alam tersebut.
Ikuti senarai peralatan meteorologi MET Malaysia yang telah kami kongsikan di bawah ini, semoga ia menjadi ilmu yang bermanfaat kepada semua.
7 jenis peralatan meteorologi yang digunakan MET Malaysia
Pengukur suhu

Sistem pengesan menggunakan kombinasi teknologi litar dalaman dengan elemen termometer rintangan platinum untuk pengukuran suhu yang sangat tepat.

Termometer bebuli kering dan basah disokong secara tegak di dalam Adang Stevenson. Di sebelah kanan adalah termometer bebuli basah manakala termometer bebuli kering adalah di sebelah kiri
Bebuli termometer basah dibalut dengan kain muslin dan diikat dengan benang. Benang itu dimasukkan ke dalam takungan yang berisi dengan air tulin.
Pengukur Tekanan Udara (Barometer)

Barometer adalah instrumen cuaca yang digunakan secara meluas untuk mengukur tekanan atmosfera (berat udara di dalam atmosfera). Terdapat tiga jenis barometer yang biasa digunakan dalam bidang meteorologi iaitu barometer merkuri, aneroid dan barometer digital.
Memandangkan pencerapan cuaca ketika ini menggunakan sistem automatik, penggunaan barometer digital adalah lebih praktikal. Secara asasnya, barometer digital diaplikasikan menggunakan kaedah aneroid dengan menggantikan komponen mekanikal kepada sensor tekanan.
Barometer memberi bacaan dalam unit milibar, Inches of Mercury (inHg), Atmospheres (Atm) dan Pascals (Pa).
Penunjuk Arah dan Kelajuan Angin

Arah angin ditentukan mengikut arah tiupan angin. Ia dipaparkan dalam bentuk darjah yang diukur mengikut arah jam dari utara. Penunjuk arah angin (wind vane) digunakan untuk menunjukkan atau merekodkan arah angin permukaan.
Peralatan yang digunakan untuk mengukur kelajuan angin dipanggil anemometers, alat yang paling biasa digunakan adalah cup anemometer.
Ia dibentuk daripada tiga cup secara hemisferik. Perbezaan tekanan angin di antara cup akan menyebabkan cup tersebut berpusing.
Kadar pusingan adalah berkadar langsung dengan kelajuan angin. Kelajuan angin diukur dalam unit meter per saat atau knot. Keadaan tenang (calm) dilaporkan apabila kelajuan angin adalah kurang daripada 0.5 meter per saat atau kurang dari satu knot.
Perakam Hujan
Terdapat pelbagai kaedah pencerapan hujan yang digunakan dalam sains meteorologi. Di Malaysia, dua kaedah digunakan untuk pencerapan hujan iaitu menggunakan alat konvensional dan peralatan automatik.
Pencerapan hujan secara konvensional menggunakan tolok hujan (rain gouge). Tolok hujan konvensional berbentuk silinder berdiameter 5 inci dan berketinggian 18 inci. Pengumpulan dan bacaan hujan dibuat setiap hari secara manual.
*Tolok hujan konvensional adalah seperti gambar di bawah.

Untuk pencerapan secara automatik pula, terdapat beberapa jenis alat yang digunakan seperti tipping bucket dan weighing precipitation. Terdapat juga peralatan yang menggunakan teknologi laser untuk pencerapan hujan.
Di Malaysia, tipping bucket digunakan secara meluas kerana harga yang berpatutan, data yang konsisten dan mudah untuk kalibrasi dilakukan. Pada asasnya, tipping bucket mempunyai corong penerima yang akan membawa air hujan kepada dua bekas.
Terdapat dua bekas yang berkedudukan seperti jongkang-jongket. Apabila bekas tersebut telah mengumpul sebanyak 0.2 mm air hujan, jisim air tersebut menyebabkan bekas tersebut tersendeng ke bawah dan mengosongkan ruangnya.
Setiap kali bekas tersendeng ke bawah, ia akan menghantar isyarat elektrik dan ini membolehkan jumlah air hujan direkodkan mengikut masa. Maksimum air hujan yang dapat dikesan adalah sebanyak 200mm/jam.
*Tipping bucket adalah seperti gambar di bawah.


Sistem Cuaca Automatik (AWS)
Sistem AWS (Automatic Weather System) terbahagi kepada dua iaitu sistem cuaca automatik utama dan sistem automatik auksiliari. Sistem cuaca automatik utama meliputi 43 buah stesen manakala sistem cuaca automatik auksiliari adalah sebanyak 221 buah stesen di seluruh Malaysia.
Terdapat beberapa perbezaan antara sistem cuaca automatik utama dan sistem cuaca automatik auksiliari, antaranya ialah perbezaan daripada sensor yang digunakan, keluasan tapak pencerapan, kaedah pencerapan dan juga susun atur sensor di tapak pencerapan.
1. Sistem Cuaca Automatik Utama (Main stations)
Terdapat enam Sensor Pencerapan cuaca yang digunakan dalam Sistem Cuaca Automatik Utama iaitu sensor mengukur laju angin (cup anamometer), sensor mengukur arah angin (wind vane), alat pengukuran suhu (PT100 & thermometer), sensor mengukur tekanan (barometer), sensor menyukat hujan (tipping bucket) dan sensor mengukur keamatan matahari (pyranometer).


2. Tapak pencerapan
Keluasan tapak Pencerapan adalah 25m x 25m dan kedudukan sensor pula adalah berdasarkan piawai yang telah ditetapkan oleh World Meteorological Organization (WMO) seperti rajah di bawah.

3. Kaedah Pencerapan
Kaedah pencerapan adalah secara realtime di mana data yang dicerap daripada sensor akan dihantar ke data logger dan diproses sebelum dihantar ke pangkalan data di ibu pejabat sebagai data siap. Data tersebut seterusnya akan dihantar ke bank data untuk kegunaan pengeluaran amaran dan ramalan cuaca.

Paparan data menunjukkan elemen cuaca yang telah dicerap oleh sensor yang telah diproses pada data logger di tapak pencerapan.

Di bawah pula adalah lokasi-lokasi Stesen Pencerapan Cuaca Automatik Utama di seluruh negara.

Solarimeter
Solarimeter adalah alat untuk mengukur sinaran matahari di permukaan bumi. Solarimeter diletakkan di atas permukaan yang rata di kawasan lapang supaya alat ini terdedah kepada spektrum sinaran elektromagnet yang datang dari matahari.
Peranti pengukur mencerap sinaran matahari dengan radius 180° bermula dari terbit matahari hingga terbenam matahari. Pada asasnya, solarimeter mengesan foton dari cahaya matahari. Terdapat dua kaedah pengukuran foton iaitu kaedah kimia dan fizikal.
Bahan kimia seperti leucocyanide malachite, asid monochloroacetic atau kalium ferrioxalate biasa digunakan untuk pengukuran menggunakan kaedah kimia.
Bagi pengukuran kaedah fizik pula, kaedah yang biasa digunakan adalah menggunakan konsep thermocouple. Konsep ini pada asasnya menukarkan tenaga haba yang diserap dari matahari kepada arus elektrik. Arus elektrik ini kemudian ditukar kepada bacaan Watt per meter persegi, W/m2.
Sumber: MET Malaysia