Siakap Keli
Tiang Elektrik

Tengah Duduk Bersantai, Keluarga Ni Tiba-Tiba Dikejutkan Dengan Panahan Petir

Ngeri, sebuah keluarga menghadapi detik-detik cemas apabila tiang elektrik di halaman rumah mereka disambar petir ketika mereka sedang duduk bersantai.

Menurut Yoursay.id, kejadian tersebut dilaporkan berlaku pada petang Sabtu lalu.

Video rakaman CCTV ketika kejadian itu telah dimuatnaik oleh seorang pengguna TikTok.

“Petir menyambar dengan sangat dahsyat petang tadi,” tulis pengguna TikTok tersebut.

Menerusi video itu, dapat dilihat suasana di halaman rumah itu yang dipenuhi oleh lima ahli keluarga berkenaan.

Mereka dilihat sedang duduk bersantai dan berbual-bual di antara satu sama lain.

Dari rakaman CCTV itu juga, kelihatan kawasan sekitar rumah itu dilanda hujan berdasarkan tanah yang berada di halaman rumah tersebut masih basah.

Ketika sedang duduk bersantai, tiba-tiba mereka dikejutkan dengan bunyi dentuman yang kuat diiringi panahan kilat.

Mereka semua terkejut dan terus melarikan diri sambil menutup telinga dan memejamkan mata.

BACA JUGA: Panahan Petir Di Litar MotoGP Indonesia Kejutkan Penonton

Ternyata bunyi dentuman dan kilat yang kuat itu datang dari petir yang menyambar tiang elektrik di halaman rumah. Panahan itu sangat kuat sehingga mengeluarkan percikan api.

Sementara itu, terdapat beberapa orang penduduk cuba untuk memeriksa tiang elektrik tersebut apabila keadaan kembali tenang.

Sehingga kini, video tersebut telah mendapat sebanyak 3.7 juta tontonan.

Video itu juga turut mendapat pelbagai reaksi daripada netizen. Ada di antara mereka yang memuji wanita berbaju hijau kerana mempunyai refleks yang baik dan segera memeluk kanak-kanak di depannya.

@rezzafalefi

petir menyambar mengerikan tadi sore

♬ suara asli – Rezza Falefi – Rezza Falefi

Terdahulu, satu kejadian panahan petir yang berlaku di kawasan perlumbaan MotoGP Indonesia 2022 turut tular.

Dalam kejadian di Litar Jalanan Antarabangsa Pertamina Mandalika pada minggu lalu itu, perlumbaan MotoGP juga tertangguh.

Menerusi video yang tular, bunyi dentuman yang kuat dapat kedengaran apabila kilat ‘menyambar’ litar itu.

Panahan petir itu juga diiringi dengan hujan yang lebat sehingga memperlihatkan penonton seperti ‘tidak senang duduk’.

Penganjur perlumbaan itu dikatakan turut menggunakan teknologi pengubahsuaian cuaca untuk menjadikan cuaca cerah namun sebaliknya berlaku apabila hujan mula turun menjelang tengah hari.

Keadaan itu menarik perhatian ramai termasuk dari media antarabangsa.

Sumber: Yoursay.id

Sofea

There's always another side to every story