Siakap Keli
Gambar via Twitter

KKM Kesan Dua Produk Kosmetik Mengandungi Racun Berjadual

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesan dua produk kosmetik yang mengandungi racun berjadual.

KKM melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) memaklumkan bahawa produk yang dikenal pasti adalah LS Repairing Cream dan Luffiya Treatment Foundation.

Menurut Pengarah NPRA, Norhaliza A Halim, kedua-dua produk berkenaan dikesan mengandungi bahan racun berjadual jenis merkuri yang dilarang dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan.

“Penjual dan pengedar produk-produk kosmetik ini pula perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik berkenaan dengan serta-merta. Penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” katanya.

Jelas Norhaliza, individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan-peraturan berkenaan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” ujarnya dalam kenyataan sama.

KKM turut menasihatkan orang awam yang sedang menggunakan produk-produk kosmetik ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

Untuk pengetahuan, merkuri adalah bahan yang boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

Bahan berunsur racun itu juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan, selain boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit.

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

Eyla Azri