Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

KKM Batal Notifikasi Produk Dikesan Mengandungi Racun Berjadual

kkm
Kredit: Bernama

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), KKM tidak lagi membenarkan penjualan produk kosmetik Beauty Love Skin Essentials Rejuvenating Facial Toner yang dikesan mengandungi racun berjadual dan tidak lagi dibenarkan dijual di negara ini.

Menurut KKM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan produk berkenaan didapati mengandungi tretinoin dan hidrokuinon, justeru notifikasi kosmetik berkenaan dibatalkan oleh Pengarah Perkhidmatan Farmasi KKM.

Tambah KKM, produk berkenaan diklasifikasikan sebagai ubat dan perlu didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) sebelum boleh dipasarkan.

“Ubat yang mengandungi tretinoin dan hidrokuinon hanya boleh digunakan atas nasihat dan pemantauan ahli profesional kesihatan,” maklum kenyataan itu.

Mengulas lebih lanjut, KKM berkata penggunaan ubat berkenaan tanpa pengawasan boleh menyebabkan kesan sampingan seperti perubahan warna kulit dan kulit menjadi hipersensitif.

“Tretinoin menyebabkan kesan sampingan pada bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

“Hidrokuinon pula boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu. Ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, kulit menjadi hipersensitif, boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV merbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit,” kata KKM.

Sehubungan itu, penjual dan pengedar produk terbabit diarah menghentikan penjualan serta-merta kerana melanggar Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Individu melakukan kesalahan di bawah peraturan-peraturan itu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

Bagi syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda hingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda hingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

KKM menasihatkan orang awam yang menggunakan kosmetik itu segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang kesan sampingan.

Orang awam digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my.