Siakap Keli

Pengeluaran Khas: Ini Maksud Ganti Semula Amaun Pengeluaran & Tambahan 20 Peratus

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan bahawa ahli yang ingin mengeluarkan simpanan KWSP di bawah kemudahan Pengeluaran Khas boleh berbuat demikian melalui portal yang disediakan bermula 1 hingga 30 April 2022.

Jika anda lihat di laman web rasmi KWSP, ada beberapa senarai soalan lazim yang ramai mungkin sudah mengetahuinya. Namun begitu, jika anda perasan, pada soalan ke 15 ada menyentuh tentang penggantian semula amaun pengeluaran.

Tahukah anda bahawa pengeluaran simpanan KWSP melalui Pengeluaran Khas ini perlu diganti semula? Apa yang dimaksudkan dengan diganti semula? Adakah pencarum perlu ‘membayar’ kembali duit yang dikeluarkan? Macam berhutang ke?

Bagi menjawab persoalan-persoalan diatas. Jom baca pencerahan daripada pihak KWSP di bawah.

Apakah yang dimaksudkan dengan penggantian semula amaun pengeluaran?

Ahli perlu menggantikan semula semua amaun yang dikeluarkan di bawah Pengeluaran Khas dengan tambahan 20%. Ilustrasi amaun penggantian semula adalah seperti berikut:

Seperti penjelasan daripada KWSP, caruman baharu yang diterima selepas ini akan dikreditkan 100% ke dalam Akaun 1 termasuklah tambahan 20% lagi daripada amaun yang telah dikeluarkan.

Setelah penggantian semula selesai, caruman ahli akan kembali seperti biasa (70% ke dalam Akaun 1 dan 30% ke dalam Akaun 2).

Ringkasnya, pencarum sebenarnya hanya ‘membayar’ semula pengeluaran khas ini melalui caruman bulanan yang dibuat selepas ini. Caruman-caruman akan datang akan dimasukkan kesemua ke Akaun 1 sehingga amaun RM 12,000 dicapai, barulah pembahagian seperti sebelumnya diantara Akaun 1 dan Akaun 2 dibuat semula.

Mungkin ramai yang bertanyakan tentang rasional penggantian semula serta tambahan 20% daripada amaun pengeluaran bukan? Ini jawapan yang diberikan oleh pihak KWSP.

Rasional bagi menggantikan semula amaun yang telah dikeluarkan adalah untuk memastikan ahli mempunyai simpanan selepas persaraan. Tambahan 20% yang ditetapkan adalah berdasarkan anggaran kehilangan/ kerugian dividen (opportunity loss) ke atas jumlah pengeluaran tersebut dengan purata 5% dividen tahunan. Hal ini demikian kerana ahli dijangka akan mengambil masa antara empat hingga enam tahun bagi mengembalikan amaun pengeluaran sepenuhnya.

Ini bertujuan untuk memastikan simpanan dapat dibina semula dengan cepat dan memanfaatkan gandaan dividen, selain mengimbangi antara keperluan mendesak semasa dan simpanan masa hadapan.

Seperti yang kita tahu, Pengeluaran Khas ini bertujuan untuk membantu ahli yang masih terkesan dengan pandemik untuk memenuhi keperluan mendesak hari ini. Bagaimanapun, KWSP mengingatkan semua ahlinya supaya mempertimbangkan jaminan pendapatan mereka pada masa akan datang sebelum memohon Pengeluaran Khas.

BACA: Suami ‘Lari’ Ikut Skandal, Wanita Buat “FB” Live Jual Barang-barang Suami, Untung RM 24k

Sumber: KWSP

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang