Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Cuba Larikan Diri & Rempuh Polis, Lelaki Warga Asing Berjaya Ditahan

Sofea
larikan diri

Petaling Jaya – Seorang lelaki yang larikan diri ketika polis menahan keretanya dalam satu kejadian di sebuah kawasan perumahan di Petaling Jaya telah berjaya ditahan.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Supritendan Ku Mashariman Ku Mahmood, suspek telah berjaya ditahan di kawasan bandar pinggiran Subang, Shah Alam.

Penahanan itu dilakukan dengan bantuan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya dan Unit Kereta Peronda Polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh.

“Suspek yang merupakan seorang lelaki warganegara asing berumur 40 tahun telah berjaya ditangkap dan turut dirampas adalah sebuah kereta proton Wira Aeroback untuk siasatan selanjutnya,” katanya.

Terdahulu, tular satu video berdurasi satu minit 14 saat yang memaparkan kejadian sebuah kereta peronda polis sedang mengejar sebuah kereta di sebuah kawasan perumahan.

Pemandu kereta tersebut telah memberhentikan kereta dan berlari meninggalkan kenderaannya.

Menurut kenyataan itu, kejadian tersebut bermula pada jam lebih kurang 5.30 petang pada Sabtu.

Dalam kejadian itu, anggota kereta peronda Polis Petaling Jaya telah menahan sebuah kereta yang dipandu oleh seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan berdekatan Jalan Sungai Buloh menghala ke Subang di kawasan Kota Damansara, Petaling Jaya.

“Semasa anggota polis hendak membuat pemeriksaan, suspek telah bertindak memecut kenderaannya dan cuba melanggar anggota bertugas menyebabkan anggota tersebut melepaskan tembakan ke arah tayar kereta suspek.

“Suspek berjaya melarikan diri dan dikejar oleh kereta peronda polis tersebut,” kata Supritendan Ku Mashariman.

Tambahnya lagi, suspek ditahan reman selama empat hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh terhadap anggota polis.

Tidak cuma itu, suspek juga akan disiasat di bawah Seksyen 188 Kanun Keseksaan kerana ingkar perintah anggota polis semasa ditahan untuk pemeriksaan, Seksyen 26 (2) Akta Polis 1967 kerana melarikan diri daripada pemeriksaan polis serta Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan dan perjalanan diri yang sah.

BACA: Nak Elak Ditahan Polis, 5 Sekeluarga Nekad Terjun Apartmen Tujuh Tingkat

Sumber: Polis Daerah Petaling Jaya