Kulit bersih, cantik dan ‘halus-mulus’ sememangnya menjadi impian setiap orang, lebih-lebih lagi kepada golongan wanita tidak mengira usia.
Pelbagai cara dan produk digunakan untuk memastikan kulit wajah mereka sentiasa kelihatan bersih dan segar, termasuklah penggunaan alat solek atau kosmetik dan skin care.
Namun, sejauh mana pengetahuan kita terhadap produk kosmetik ini? Mungkin ada yang tidak tahu bahawa produk kosmetik juga mempunyai tarikh tamat tempoh dan tidak lagi boleh digunakan.
Macam mana nak tahu produk kosmetik yang kita beli telah tamat tempoh? Menerusi siaran Youtube Siakap Keli, kami kongsikan cara untuk anda tahu produk kosmetik tertentu yang telah tamat tempoh.
Difahamkan, setiap produk kosmetik mempunyai label Period After Opening (PAO) yang menunjukkan jangka hayat produk selepas dibuka.
Pada kebiasaannya, label ini akan berada pada produk itu sendiri dan logonya berbentuk balang terbuka dengan nombor dan huruf M.
Tanda huruf ‘M’ pada pada balang tersebut bermaksud month iaitu bulan, manakala nombor sebelum huruf itu pula bermaksud bilangan bulan.
Sebagai contoh, jika kelihatan 10M pada sesuatu produk tersebut ia bemaksud produk tersebut akan tamat tempoh setelah 10 bulan ia dibuka.
Sesetengah produk akan meletakkan jangkaan tamat tempoh tersebut pada bahagian depan dan juga bawah produk.
Namun, tidak semua produk meletakkan tanda tamat tempoh dengan cara tersebut.
Bagaimana pula jika produk tersebut tidak mempunyai label tamat tempoh atau PAO?
Jika sesuatu produk itu tidak mempunyai label tamat tempoh, namun masih ada cara lain untuk kita mengetahuinya sendiri.
Misalnya pencuci muka, ia mampu bertahan selama enam hingga 12 bulan, manakala krim pelembap pula mampu bertahan selama satu tahun.
Namun, jika produk tersebut tidak mempunyai bahan pengawet atau bahan pengawet sintetik, jangka hayat krim pelembap akan berkurang dari tiga hingga enam bulan saja.
Dalam pada itu, air merupakan bahan utama dalam micellar water, kandungan air yang tinggi merupakan bahan terbaik untuk pembiakan bakteria.
Disebabkan itu, anda perlu berhenti menggunakan micellar water selepas enam bulan ia dibuka. Penyegar wajah atau facial mist juga sama seperti micellar water.
Walau bagaimanapun, terdapat bahan lain yang terkandung dalam penyegar wajah yang mampu memanjangkan lagi jangka hayatnya.
Dalam concealer pula terdapat kandungan minyak yang bertujuan untuk memudahkan ia disapu pada kulit dengan hasil yang kelihatan kemas dan juga halus.
Setelah setahun, jika concealer yang anda gunakan itu kering atau cakey, bau dan warna yang pelik, anda sudah tidak boleh lagi gunakan dan perlu buang saja.
Seterusnya adalah foundation jenis krim atau cecair, ia mampu bertahan selama enam hingga 12 bulan. Ini kerana ia mengandungi minyak, air dan ejen lembapan yang mampu menjadi medium pembiakan bakteria yang meningkatkan kesan jangkitan pada kulit.
Dalam pada itu, foundation jenis bedak pula mampu bertahan selama dua tahun kerana formulanya yang kering dan sukar untuk bakteria membiak.
Walau bagaimanapun, anda tetap perlu membersihkan span atau berus selepas digunakan.
Eyeshadow jenis krim pula mampu bertahan selama enam bulan, manakala yang jenis bedak pula mampu bertahan selama dua tahun.
Untuk elakkan lupa tarikh tamat tempoh produk yang dibeli, anda disaran untuk tulis atau labelkan tarikh produk yang telah dibuka.
Antara kesan buruk jika anda menggunakan produk yang telah tamat tempoh, kulit anda berkemungkinan akan mengalami masalah akibat bahan-bahan yang terdapat dalam barangan kosmetik tersebut.
Semoga tips ini dapat memberi manfaat kepada anda, selamat mencuba.
Sumber: Youtube Siakap Keli