Siakap Keli
memandu kereta
Gambar: Bernama

Malaysia Duduki Tangga Ke-8 Dunia Dalam Senarai Negara Paling ‘Stress’ Untuk Memandu

Dalam keadaan tertentu, memandu kereta bukanlah satu pengalaman yang mengujakan dan boleh menyebabkan seseorang menjadi tertekan terutama apabila berada di atas jalan raya yang sesak

Bercakap mengenainya, baru-baru ini satu tinjauan mendapati bahawa Malaysia merupakan antara negara yang paling tertekan untuk memandu kereta.

Tinjauan yang dikeluarkan oleh portal Confused.com itu dijalankan berdasarkan pelbagai faktor yang berbeza seperti kualiti jalan raya, tahap kesesakan dan kemalangan di jalan raya.

Setiap 48 negara yang dianalisis diberikan skor wajaran keseluruhan iaitu daripada 100 untuk mendedahkan negara mana yang paling tertekan untuk memandu.

Malaysia di tangga ke-8

Hasil analisis itu mendapati bahawa Malaysia menduduki tangga ke-8 dengan skor pemanduan tertekan sebanyak 72.

Manakala, bagi kualiti infrastruktur jalan raya, Malaysia mendapat 72.4, selain 22.93 untuk kategori kemalangan maut bagi setiap 100,000 penduduk.

Bilangan kereta setiap km jalan pula adalah 91.5 kenderaan dengan purata satu kamera kelajuan untuk setiap 995.88 km.

Berbeza dengan Singapura, negara itu berada di tangga ke-17 dengan skor pemanduan yang tertekan sebanyak 63.

Kemalangan maut di negara itu pula hanyalah 2.51 bagi setiap 100,000 penduduk.

Sementara itu, Emiriah Arab Bersatu (UAE) menduduki tangga pertama bagi negara yang paling tertekan untuk memandu.

Walaupun negara itu dilihat mempunyai infrastuktur jalan raya yang baik, namun pengalaman pemanduan di sana tidak seperti yang dibayangkan.

Berdasarkan tinjauan itu, UAE mendapat sebanyak 88 daripada jumlah keseluruhan 100 bagi skor pemanduan yang tertekan.

Ia juga merekodkan jumlah kemalangan maut tertinggi bagi setiap penduduk iaitu sebanyak 2724.33, menjadikannya negara yang paling tertekan untuk memandu.

Tiga negara paling tidak tertekan untuk memandu

Dalam pada itu, Denmark, Jepun dan Finland disenaraikan sebagai tiga negara yang paling tidak tertekan untuk memandu.

Masing-masing dengan markah di bawah 28 daripada 100 dan ketiga-tiganya mendapat skor yang rendah untuk kemalangan maut dengan hanya melaporkan di bawah 4 kemalangan bagi setiap 100,000 penduduk.

Manakala, Eropah mendominasi 10 negara teratas yang paling kurang tekanan untuk memandu, dengan sembilan negara dari benua itu semuanya mendapat markah kurang daripada 40/100 untuk faktor pemanduan yang tertekan.

Bagi faktor kualiti jalan raya pula, Zimbabwe mendapat markah yang paling teruk iaitu hanya 30.6 daripada 100.

Sumber: Confused.com

Sofea

There's always another side to every story