PYONGYANG – Korea Utara bakal menggunakan senjata nuklear untuk ‘hapuskan’ tentera Korea Selatan sekiranya negara itu bertindak melancarkan serangan awal.
Perkara tersebut disampaikan oleh adik kepada Presiden Korea Utara, Kim Jong Un, iaitu Kim Yo Jong dalam kenyataan hari ini, lapor AFP.
Ia merupakan amaran kedua Yo Jong dalam tempoh tiga hari susulan komen Ketua Pertahanan Korea Selatan, Suh Wook minggu lepas.
Sekitar bulan lalu, Korea Utara dikatakan menyambung semula ujian senjata yang telah dilarang dengan melancarkan peluru berpandu balistik, pertama kali sejak tahun 2017.
Dalam kenyataan pada Jumaat, Suh mendakwa tentera Korea Selatan mempunyai peluru berpandu yang berupaya menembak mana-mana sasaran di Korea Utara dengan cepat dan tepat.
Yo Jong bagi pihak Korea Utara kemudiannya merespon dengan berkata bahawa ia merupakan “kesilapan yang sangat besar” untuk Suh kerana menyuarakan serangan awal terhadap negara dengan kuasa nuklear, lapor KCNA.
“Sekiranya Korea Selatan melancarkan konfrontasi tentera terhadap kami, pasukan tempur nuklear kami tidak dapat mengelak selain melaksanakan tugas mereka,” kata Yo Jong selaku penasihat polisi Pyongyang.
Ujarnya, “misi utama” pasukan tempur nuklear Korea Utara adalah sebagai penghalang, namun jika timbul konflik bersenjata, ia akan digunakan bagi menghapuskan tentera musuh dalam satu serangan.
Impak kepada serangan berkenaan, Yo Jong mendakwa tentera Korea Selatan bakal berdepan kemusnahan dan kehancuran secara menyeluruh.
“Kami tidak menganggap mereka (Korea Selatan) sebagai tandingan untuk pasukan ketenteraan kami,” katanya.
Korea Utara menangguhkan ujian senjata nuklear jarak jauh mereka setelah Jong Un menjalinkan hubungan diplomasi dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, namun berakhir pada tahun 2019.
Negara pimpinan Kim Jong Un itu akan menyambut ulang tahun ke-110 pemimpin pertama mereka, Kim Il Sung (datuk kepada Kim Jong Un) bulan ini yang selalunya dimeriahkan dengan perbarisan tentera, ujian senjata atau pelancaran satelit.
Sumber: AFP