Bila bercakap mengenai urusan jual beli tanah, banyak perkara yang masih lagi menjadi kekeliruan sehingga ke hari ini termasuk mengenai geran pemegang amanah bagi sesebuah tanah.
Untuk pengetahuan, geran ini biasanya banyak digunakan bagi jual beli tanah lot seperti tanah pertanian.
Ia juga melibatkan tanah lot lidi yang tertumpu di kawasan pinggir bandar. Kebiasaannya, penjual akan menyasarkan pembeli yang terdiri daripada penduduk kampung atau pesara.
Bagaimanapun, ramai pembeli yang masih tidak tahu mengenai kesan apabila memasukkan nama ke dalam geran pemegang amanah.
Menurut Pensyarah Undang-Undang Tanah di Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah, Dr Azlan Yahya, nama pembeli sebenarnya tidak akan dimasukkan ke dalam geran tanah tersebut.
Jika ia tetap dilakukan tanpa mengetahui kesannya, pasti akan berlaku kekeliruan bagi hakmilik tanah tersebut kelak.
Ikuti penjelasan Dr Azlan di bawah ini untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perkara tersebut.
GERAN PEMEGANG AMANAH
Kebelakangan ini terlalu banyak posting jualan tanah berstatus “geran pemegang amanah”. Apa itu? Biar saya terangkan secara mudah bukan terlalu akedemik sangat.
Saya mengajar undang-undang tanah hampir lebih 30 tahun, tak sampai hati bila ramai pembeli terpedaya dengan tarikan geran pemegang amanah dan kononnya guna khidmat peguam.
Nasihat mudah dari saya “jangan beli”. Nama pembeli tak akan dimasukkan dalam geran tanah, ia hanya sekadar dokumen peguam dan kemudiannya dikenakan “kaveat pemegang amanah”.
Bila dikeavet memang penama asal tak boleh buat sebarang urusniaga tapi perlu ingat pembeli juga tiada sebarang hak yang jelas mengikut perundangan kanun tanah negara bila nama tidak tertera atas geran.
Bahasa mudah pembeli ibarat roh si mati yang tak diterima langit dan bumi, terawang awang begitu sahaja. Kesannya nanti tiada hakmilikan yang jelas secara perundangannya.
Sekadar perkongsian sebelum terjebak.
Diharapkan perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada semua. Pastikan anda menyemak terlebih dahulu segala maklumat sebelum memutuskan untuk membeli tanah.
Sumber: Azlan Yahya