LIMA – Presiden Peru, Pedro Castillo dalam satu kenyataan mengumumkan bahawa darurat dan perintah berkurung yang dikenakan di bandar Lima dan Callao, berakhir serta-merta.
Pada Isnin, keganasan tercetus oleh kumpulan tunjuk perasaan yang membantah kenaikan harga minyak yang dibincangkan oleh pihak Kongres.
“Kami dengan ini menamatkan perintah berkurung serta-merta.
“Kami minta rakyat Peru untuk bertenang,” kata pemimpin berkenaan yang ketika itu turut bersama presiden Kongres, Maria del Carmen Alva.
Pihak polis dan tentera dilaporkan membuat rondaan di jalan-jalan kosong di Lima semalam setelah Castillo mengumumkan penamatan perintah darurat terhadap Lima dan Callao, tengah malam Isnin.
Semasa tempoh berkenaan, kedai-kedai dan sekolah ditutup, sementara servis bas rata-ratanya dihentikan. Tiada pilihan lain, orang awam terpaksa menaiki teksi atau berjalan kaki untuk ke tempat kerja masing-masing.
Namun begitu, kebanyakan individu seperti pekerja hotel dan hospital mengabaikan perintah tersebut sekaligus mencetuskan kritikan di media sosial.
Pengumuman perintah darurat sebelumnya sempat mengejutkan warga Lima, memandangkan tindakan tunjuk perasaan paling ganas berlaku di kota yang jauh dari Lima.
Sumber: AFP