SEPANG – Polis telah menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kes cabul dua wanita di Cyberjaya semalam.
Ketua Polis Daerah sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihak polis akan melakukan pengecaman suspek.
“Kita sedang membuat laporan tangkapan suspek. Kita juga akan buat kawad cam,” kata Wan Kamarul, memetik laporan Sinar Harian.
Jelas beliau, polis sudah mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati suspek adalah orang yang sama dengan kejadian pertama.
Sebelumnya, dua kes cabul berselang 15 minit dilaporkan media tempatan, melibatkan dua orang wanita di dalam bangunan yang sama.
Bagi kes pertama, tindakan tidak senonoh itu dilakukan terhadap seorang pembantu peribadi berusia 27 tahun ketika mangsa mengangkat barang di kawasan parkir.
Suspek kononnya menawarkan diri membantu mangsa mengangkat barang sebelum pelawaannya ditolak mangsa.
“Wanita itu memberitahu, dia tidak perlukan pertolongan, namun lelaki itu tetap mengambil barang dan memasukkan ke dalam kereta mangsa.
“Tiba-tiba lelaki tersebut telah menyentuh dan meramas punggung mangsa kemudian melarikan diri,” kata Wan Kamarul.
Mangsa pertama walau bagaimanapun sempat melihat suspek namun mengaku tidak mengenali lelaki berkenaan.
“Mangsa hanya nampak lelaki itu matanya juling.
“Wanita itu juga tidak kenal dan tidak pernah berjumpa dengan lelaki tersebut sebelum ini,” ujarnya.
Sementara itu, kes kedua melibatkan wanita berusia 34 tahun yang turut diganggu secara seksual oleh lelaki yang sama di hadapan lif tingkat dua bangunan tersebut.
“Lelaki berkenaan memeluk dan mencabul mangsa.
“Wanita itu (mangsa kedua) cuba memusingkan badan untuk melepaskan diri sebelum suspek menolak mangsa hingga terjatuh dan terus melarikan diri,” tambah Wan Kamarul.
Suspek kini telah berjaya ditahan pihak polis dan disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Sumber: Sinar Harian