Pemain pasukan bola keranjang, Kyrie Irving tular apabila dia terlihat sempat buka puasa semasa di tengah-tengah perlawanan NBA (National Basketball Association).
Irving telah membuktikan bahawa berpuasa di bulan Ramadhan bukanlah penghalang bagi bintang bola keranjang itu untuk meneruskan aksi bersama pasukannya, Brooklyn Nets .
Dalam rakaman tular itu, dapat dilihat Irving yang sedang makan di barisan kerusi di luar gelanggang, sambil matanya menonton perlawanan pasukannya menentang Atlanta Hawks.
Irving kemudiannya masuk semula ke gelanggang dan meneruskan perlawanan sehingga tamat, di mana Brooklyn Nets tewas di tangan Atlanta Hawks setelah ketinggalan tujuh mata di belakang seteru mereka.
Menurut ulasan pengulas dalam video sama, Irving sebelumnya sempat ke loker bilik persalinan dan kembali semula ke kawasan gelanggang dengan membawa secawan buah-buahan untuk buka puasa.
Pada April tahun lalu, Irving dalam satu sesi sidang media selepas kemenangan Brooklyn Nets ke atas Celtics mengaku mengabdikan dirinya kepada agama Islam.
“Ya, saya berpuasa di bulan Ramadhan bersama saudara-saudara Muslim saya dan sedang membiasakan diri, itu yang saya boleh cakap.
“Saya mengabdikan diri kepada Tuhan saya, Allah dan menuruti apa yang diajarkan kepada saya,” kata Irving dalam kenyataan tersebut.
Pemain bola keranjang profesional yang berasal dari Australia itu turut meluahkan rasa syukur menjadi sebahagian daripada komuniti Muslim dan turut sama berpuasa seperti umat Islam yang lain.
“Saya gembira berada dalam komuniti ini dan lakukan perkara yang betul, jadi berpuasa adalah salah satunya.
“Saya rasa bertuah dan bersyukur kerana menjadi sebahagian daripada ini,” kata Irving, memetik rakaman yang dimuatnaik di laman Twitter ESPN tahun lalu.
Kyrie talked about fasting for Ramadan after the Nets’ win over the Celtics.
“Just really blessed and grateful to be taking part in this.” pic.twitter.com/CKKppFmx6f
— ESPN (@espn) April 24, 2021
Sumber: ESPN, Al-Jazeera