Siakap Keli
julaibib
Gambar Via Bombastis

Kisah Julaibib RA Berjodoh Dengan Wanita Cantik Walau Tiada Rupa & Harta

Setiap manusia yang dicipta oleh Allah SWT mempunyai keistimewaan dan kelebihan yang tersendiri. Justeru, jangan bersedih jika tidak ‘berupa’ dan tidak mempunyai harta kerana Allah SWT tidak memandang semua itu. Buktinya dapat dilihat menerusi kisah sahabat Nabi Muhammad SAW iaitu Julaibib Radhiyallahu anhu (RA) yang tidak mempunyai rupa dan harta tetapi mempunyai ilmu agama yang sangat tinggi.

Untuk pengetahuan, Julaibib merupakan orang Ansar dan juga ahli Suffah (orang-orang yang tinggal di pinggir masjid dan menjaga rumah Allah).

Beliau bukan sahaja dikenali sebagai pemuda yang buruk rupa tetapi juga tidak mempunyai harta dan tidak diketahui nasab keturunannya.

Diceritakan bahawa Julaibib sering tidur dengan beralaskan lengan di anjung Masjid Nabawi.

Beliau merupakan salah seorang sahabat Nabi SAW yang sangat tinggi ilmu agamanya dan sering menghadiri majlis-majlis agama.

Tidak cuma itu, beliau juga merupakan antara sahabat Nabi yang sentiasa berada di saf pertama solat dan sering membuatkan Nabi serta sahabat yang lain tersenyum kerana dia seorang yang sangat periang.

Menikahi wanita cantik

Pada satu hari Rasulullah SAW telah berjumpa dengan Julaibib dan bertanya kepadanya mengenai perkahwinan.

“Wahai Julaibib, engkau ini tidak mahu ke berkahwin dan berkeluarga?,” tanya Rasulullah SAW.

Jawab Julaibib, tiada siapa yang menginginkan dirinya kerana keadaannya yang serba ‘kekurangan’.

“Ya Rasulullah siapa yang ingin berkahwin dengan aku? Aku tiada rupa, harta dan nasab keturunan.

“Aku ini bukan siapa-siapa,” kata Julaibib.

Mendengar jawapan itu, Rasulullah SAW telah merancang untuk meminang seorang wanita cantik daripada Madinah untuk diperisterikan oleh Julaibib.

Wanita itu dikatakan bukan sahaja cantik tetapi juga bijaksana dan pandai bersyair.

Rasulullah SAW telah berjumpa dengan bapa wanita tersebut untuk meminangnya. Kehadiran Rasulullah  telah mengejutkan bapa wanita itu, selain turut merasa gembira.

Bapa wanita itu menyangka bahawa Rasulullah ingin meminang anaknya untuk diri Baginda.

BACA: Kisah Bahalol, Seorang Wali Allah Di Zaman Bani Abbasiyah

Namun, Rasulullah berkata pinangan itu bukan untuknya.

“Sekiranya bukan untuk engkau, jadi untuk siapa ya Rasulullah?,” soalnya pada Rasulullah.

Lantas, Rasulullah menjawab pinangan tersebut sebenarnya untuk Julaibib RA.

Mendengarnya, bapa wanita itu meminta untuk diberikan waktu agar dia dapat berbincang dengan isterinya.

Bila isterinya tahu bahawa Rasulullah SAW datang untuk meminang anaknya, dia merasa sangat gembira.

Pun begitu, setelah diberitahu bahawa pinangan tersebut sebenarnya untuk Julaibib, isterinya tidak bersetuju dan menolak pinangan itu. Difahamkan, perkara tersebut menyebabkan hampir berlakunya pergaduhan di antara mereka berdua.

Tanpa mereka sedari, anak mereka terdengar mengenai perbincangan tersebut.

“Ayah, sebenarnya siapa yang ingin bernikah dengan aku?,” tanya wanita itu kepada bapanya.

Terima pinangan

Apabila mengetahui bahawa Rasulullah meminangnya bagi pihak Julaibib, dia tanpa ragu-ragu menerima pinangan itu.

“Ini telah ditetapkan oleh Allah SWT dan jika Rasulullah SAW meredhai aku dan Julaibib, maka aku terima,” katanya.

Maka Julaibib dan wanita itu pun berkahwin. Rasulullah SAW yang mendengar perkhabaran tersebut berdoa untuk pasangan itu.

“Ya Allah kau hujanilah dengan rezeki yang melimpah ruah kepada wanita terbabit, jangan kau sempitkan rezekinya dan sentiasa limpahkan kebaikan kepadanya kerana wanita tersebut menerima Julaibib dengan seadanya,” doa Rasulullah SAW.

Seperti yang dinyatakan di atas, Allah SWT tidak pernah membezakan seseorang itu daripada paras rupa, harta benda dan juga pangkat tetapi Allah SWT menilai kita dari segi amalan dan ketakwaan.

Ia juga bertepatan dengan firman Allah SWT dalam surah al-Hujarat ayat ke-13, yang bermaksud:

Sesungguhnya kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan dan kemudian menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal.

Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah SWT ialah orang yang paling takwa antara kamu.

Untuk mengetahui lebih banyak kisah menarik berkaitan tokoh-tokoh Islam, anda boleh mengikuti saluran YouTube Siakap Keli dan Siakap Keli TV seperti di bawah ini.

Sumber: Siakap Keli TV

Sofea

There's always another side to every story