Siakap Keli
Gambar: NY Times & Biographied

Lelaki Ini Terbukti Tidak Bersalah Bunuh Dua Kanak-Kanak Selepas 70 Tahun Dihukum Mati

Seorang remaja lelaki terbukti tidak bersalah, selepas 70 tahun meninggal dunia setelah dijatuhkan hukuman mati dengan kerusi elektrik.

Remaja itu menerima hukuman pada tahun 1944 ketika dia berusia 14 tahun dan merupakan orang termuda pernah dihukum dengan kaedah tersebut di Amerika Syarikat.

Dia dijatuhkan hukuman selepas didakwa membunuh dua orang kanak-kanak perempuan berusia 11 dan tujuh tahun.

Gambar: MRU Media

Kedua-dua mangsa dipercayai terakhir kali dilihat menunggang basikal di Alcolu, Carolina Selatan apabila mereka berhenti untuk bertanya arah kepada remaja lelaki berkenaan yang ketika itu bersama adik perempuannya.

Mangsa dikatakan bertanya kepada tertuduh di manakah mereka boleh mendapatkan sejenis bunga berbuah kuning yang dikenali sebagai maypop.

Disoal siasat tanpa ibu bapa, peguam atau saksi

Bapa kepada remaja lelaki berkenaan turut terlibat dalam misi pencarian mangsa yang hilang dan mayat kedua-duanya ditemui di dalam parit dengan beberapa kecederaan di kepala.

Setelah mengetahui bahawa mangsa pernah dilihat bercakap dengan tertuduh, pihak polis bertindak menangkap remaja berkenaan di rumahnya dan menyoal siasat tanpa kehadiran ibu bapa, peguam atau saksi.

Pihak polis mendakwa bahawa remaja lelaki tersebut mengaku membunuh kedua-dua mangsa dan kemudiannya diadili dalam persidangan singkat yang hanya mengambil masa dua jam.

Peguam yang dilantik mahkamah untuk membela tertuduh dikatakan tidak memanggil mana-mana saksi atau mengemukakan sebarang bukti dalam perbicaraan itu.

Tiada sebarang bukti fizikal ditemui yang menunjukkan remaja berkenaan membunuh mangsa. Namun perbincangan hanya mengambil masa 10 minit sebelum remaja itu dijatuhkan hukuman atas kesalahan membunuh.

terbukti tak bersalah selepas 70 tahun
Gambar: Wikipedia

Pihak yang menyertai protes turut memohon kepada Gabenor Olin Johnston supaya tertuduh diberikan pengampunan. Pun begitu, cubaan mereka tidak membuahkan hasil dan remaja tersebut dihukum mati pada tanggal 16 Jun 1944.

Terbukti tak bersalah lepas 70 tahun

Peguam yang mewakili adik-beradik tertuduh telah mengemukakan bidaan undang-undang agar keputusan hukuman itu dibatalkan dan akhirnya diterima pihak berkuasa.

Selepas 70 tahun, remaja berkenaan terbukti tidak bersalah dan dakwaan atas kesalahan membunuh yang dikenakan terhadapnya ditarik balik pada tahun 2014.

Menurut adik-beradik tertuduh, pengakuan abang mereka adalah kerana dipaksa dan dia bersama salah seorang adik-beradik mereka menjaga lembu ternakan keluarga ketika insiden berlaku.

Adik perempuan tertuduh memberitahu The Guardian, semasa abangnya ditangkap pihak polis, kedua ibu bapa mereka ketika itu tiada di rumah.

Keluarga remaja lelaki itu juga memetik nama salah seorang rakan sel tertuduh yang berkata remaja itu menafikan bahawa dia membunuh kedua-dua mangsa.

Ketika dakwaan terhadap remaja berkenaan ditarik balik, Hakim Carmen Mullen menyifatkan hukuman mati yang dijatuhkan sebagai kes ketidakadilan terbesar.

BACA: Remaja Lelaki 16 Tahun Didakwa Bunuh Kanak-Kanak

Sumber: Unilad

Eyla Azri

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.