Siakap Keli
Gambar: BERNAMA

Malaysia Tamatkan SAR, Penyelam Remaja Belanda Hilang Di Mersing Dipercayai Berada Dalam Perairan Indonesia

MERSING, 9 April (Bernama) — Op Carilamat bagi mengesan seorang lagi penyelam remaja warga Belanda yang hilang di perairan Pulau Tokong Sanggol, dekat sini, Rabu lepas, ditamatkan pada pukul 1.30 tengah hari ini.

Ketua Polis Daerah Mersing Supt Cyril Edward Nuing berkata ia berikutan hasil maklumat dan siasatan mendapati kedua-dua penyelam warga Britain dan Perancis yang terselamat ditemui di kedudukan 16 batu nautika dari utara Pulau Bintan, Indonesia.

Beliau berkata kedudukan kedua-dua penyelam itu ditemui adalah kira-kira 70 batu nautika atau 100 kilometer daripada lokasi terakhir mereka dilaporkan hilang.

“Daripada maklumat ini kami berpendapat usaha pencarian (kini) di kawasan (perairan) Indonesia dan operasi dihentikan sementara di perairan Malaysia.

“Rakan setugas kita di Indonesia telah maklum dan mereka akan sambung (operasi) cari di perairan Indonesia. Bagaimanapun aset-aset kita di laut sentiasa berada dalam keadaan siap siaga,” katanya pada sidang media di Pangkalan Hadapan Carilamat Jeti Awam Majlis Daerah Mersing di sini hari ini.

Cyril berkata remaja berkenaan, Nathen Renze Chesters, 14, berkemungkinan besar tidak berada di perairan Malaysia berdasarkan arus dan lokasi dua penyelam yang ditemui awal pagi tadi.

“Buat masa ini, kita tidak dapat memastikan secara rasmi keadaan Nathen Renze, namun kita meletakkannya sebagai masih hidup berikutan tidak nampak mayatnya dan diklasifikasikan sebagai orang hilang,” jelasnya.

Beliau berkata jurulatih selam warga Norway, Kristine Grodem, 35, yang ditemukan selamat Khamis lepas juga berada dalam keadaan stabil, namun masih belum bersedia untuk memberi keterangan.

“Begitu juga keadaan dua penyelam (Adrian Peter Chesters, 46, dan Alexia Alexandra Molina, 18) berada dalam keadaan stabil dan bersemangat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Zon Maritim Mersing Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata meskipun Op Carilamat tersebut ditamatkan, aset daripada pelbagai agensi yang berada di perairan negara sentiasa berada dalam keadaan siap siaga dan bersedia untuk membantu pihak berkuasa Indonesia sekiranya diperlukan.

Adrian Peter dan Alexia Alexandra Molina dijumpai selamat kira-kira pukul 1 pagi tadi.

Grodem pula ditemukan selamat dalam keadaan terapung, dilengkapi pakaian dan peralatan menyelam, oleh sebuah bot tunda yang dalam perjalanan dari Indonesia ke Thailand pada 8.15 pagi, Khamis lepas.

Dalam kejadian pada tengah hari Rabu lepas (6 April), empat penyelam warga asing dilaporkan hilang ketika menyelam di perairan Pulau Tokong Sanggol, kira-kira sembilan batu nautika dari Tanjung Leman di sini.

Sumber: BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.