Siakap Keli
dos penggalak kedua
Gambar via CNBC

Individu 60 Tahun Ke Atas Boleh Diberi Opsyen Dapatkan Dos Penggalak Kedua – Khairy

Kuala Lumpur – Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa individu tertentu boleh mendapatkan dos penggalak kedua COVID-19.

Jelas Khairy, individu berumur 60 tahun ke atas dengan komorbiditi berisiko tinggi boleh diberikan dos penggalak kedua dengan selang masa sekurang-kurangnya empat hingga enam bulan selepas tarikh dos penggalak pertama.

Pun begitu menurut Khairy, pengambilan dos penggalak kedua itu tidak wajib dan diberikan pilihan kepada individu terbabit.

“Kedua, individu yang ada masalah dengan sistem imun (moderate atau severe immunocompromised) berumur 12 tahun ke atas boleh diberikan dos penggalak dengan selang masa sekurang-kurangnya 28 hari selepas tarikh dos kedua,” katanya.

Sementara itu, bagi individu 60 tahun ke atas yang sihat dan tidak mempunyai komorbiditi berisiko tinggi juga boleh mendapatkan dos penggalak kedua, namun perlu berbincang dengan pengamal perubatan terlebih dahulu.

“Sekiranya pengamal perubatan kata kelebihannya lebih banyak dari risiko, maka mereka boleh juga mendapatkan dos keempat atau dos penggalak kedua, berdasarkan pertimbangan pengamalan perubatan mereka,” jelasnya dalam kenyataan sebentar tadi.

Tambah Khairy, setakat ini vaksin Comirnaty Pfizer adalah vaksin yang disyorkan bagi dos penggalak kedua berdasarkan data saintifik yang sedia ada dan akan diberikan untuk dos berkenaan.

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

Eyla Azri