Siakap Keli
bola sepak hamidin
Gambar: BERNAMA

“Lupakan Seketika Bola Sepak Dalam Tempoh Beberapa Bulan…” – Hamidin

PETALING JAYA — Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin menyarankan pemain kebangsaan, Faisal Halim untuk melupakan seketika dunia bola sepak untuk tempoh beberapa bulan mendatang, lapor Bernama.

Beliau berkata demikian sewaktu menziarahi pemain kelahiran Pulau Pinang itu yang mengalami kecederaan pada tangan kiri dan bahagian badan kiri di hospital.

“Kondisi dia cukup saya katakan menyedihkan tapi saya berharap Faisal, isteri dan keluarga akan tabah akan dugaan ini.

“Bahagian kaki dia nampak baik tiada apa-apa. Bahagian tangan kiri badan belah kiri rusuk dan bahu yang tercedera.

“Saya katakan kepada dia agar melupakan seketika bola sepak dalam tempoh beberapa bulan yang mendatang untuk dia sembuh sepenuhnya daripada asid yang terkena badannya,” ujarnya sewaktu ditemui pemberita di hospital yang merawat Faisal hari ini.

Tambah Hamidin, beliau meluahkan rasa kesal dan sedih atas dua insiden yang membabitkan dua pemain skuad Harimau Malaya Faisal dan Akhyar dan berharap kedua mereka diberi kesembuhan.

Beliau turut berharap individu yang terbabit dengan insiden ini dapat dibawa ke muka pengadilan secepat mungkin.

Faisal Stabil

Sementara itu,  Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor Mohd Najwan Halimi mengesahkan pemain Selangor FC dan kebangsaan Faisal Halim yang disimbah asid dalam satu insiden di sebuah pasar raya hari ini mengalami  kelecuran tahap dua, lapor Bernama.

Beliau berkata dalam kenyataan Penjaring Gol Tercantik Piala Asia itu yang kini dirawat di sebuah hospital dekat sini mengalami lecur pada beberapa bahagian tubuh iaitu pada sekitar leher, bahu, lengan dan dada.

BACA: Penunggang Motosikal Maut Bergesel Dengan Lori, Tercampak Atas Penghadang Besi

Menurut Mohd Najwan, beliau telah berhubung dengan pihak pengurusan Selangor FC dan dimaklumkan pemain sayap kebangsaan itu berada dalam keadaan stabil.

Mohd Najwan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Anggerik turut mengecam keras tindakan tersebut dan mahu pihak polis menjalani siasatan dan membawa pelaku ke muka pengadilan.

“Didoakan agar saudara Faisal diberikan kekuatan dan semangat dalam menghadapi musibah ini serta dikurniakan kesembuhan segera,” menurut kenyataan itu.

Sumber: BERNAMA

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?