Siakap Keli

NASA Sahkan Berjaya Temui Komet Terbesar Pernah Dilihat Dalam Sistem Suria Setakat Ini

Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) Amerika Syarikat dilapor berjaya menemui sebuah komet dengan nukleus 50 kali ganda lebih besar daripada komet biasa.

Menurut laporan BBC, cerapan teleskop Hubble mendapati jisim nukleus komet berkenaan dianggarkan  500 trillion tan dengan diameter 137km.

Komet gergasi yang diberi kod C/2014 UN271 ketika ini sedang bergerak pada kelajuan 35,000 kmj dari pinggir Sistem Suria atau Awan Oort.

Walaupun komet berkenaan bergerak menghampiri Bumi, namun NASA memaklumkan perkara berkenaan tidak perlu dirisaukan memandangkan jarak terdekat komet itu akan berada dengan kita adalah kira-kira 1 billion batu dari Matahari. Malah, ianya dijangka hanya berlaku pada 2030 nanti.

Kedudukan terkini komet tersebut dianggarkan pada jarak kurang 2 billion batu daripada Matahari.

Komet ini kali pertama berjaya dikesan oleh saintis pada 2010 namun baru sekarang kewujudan komet berkenaan berjaya disahkan oleh teleskop Hubble. Saintis sekian lama percaya bahawa komet ini mempunyai saiz gergasi kerana mempunyai kecerahan yang sangat terang.

Dengan saiz gergasi tersebut, saintis juga mengesahkan bahawa komet berkenaan merupakan komet terbesar yang pernah dilihat dalam Sistem Suria. Ia diberi nama Bernardinelli-Bernstein, iaitu gabungan nama dua saintis yang menemuinya, Pedro Bernardinelli dan Gary Bernstein.

Mereka berdua mengesan kewujudan objek angkasa lepas itu semasa bekerja di Balai Cerap Inter- Amerika, di Chile lebih sedekad yang lalu. Ketika itu, ia berada pada kedudukan kira-kira tiga billion batu dari Matahari.

Man-To Hui dari Universiti Sains dan Teknologi Macau menyifatkan komet itu sebagai ‘objek yang menakjubkan’ kerana saiznya yang lebih besar daripada komet yang lain.

 

 

Sumber: BBC News, Astrolab Malaysia

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang