Siakap Keli
balai polis
Gambar Via Detik.com

Ditahan Kerana Dadah, Pasangan Pengantin Terpaksa Akad Nikah Dalam Balai Polis

Seorang lelaki dilaporkan telah menikahi kekasih hatinya di dalam balai polis selepas dia ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes dadah.

Memetik laporan Detik.com, pernikahan pasangan itu diadakan di Balai Polis Denpasar, Indonesia sambil disaksikan oleh beberapa orang anggota polis dan ahli keluarga terdekat.

“Jadi hari ini Polis Denpasar melaksanakan pernikahan yang statusnya adalah banduan,” kata Kapolres Denpasar AKBP Bambang Yugo Pamungkas.

Sebelum pernikahan berlangsung, pengantin perempuan dan keluarga dilihat menunggu pengantin lelaki keluar dari sel tahanan. Bagaimanapun, akad nikah dipercayai berjalan dengan lancar.

Difahamkan, lelaki itu keluar dari sel tahanan dengan memakai pakaian tradisional Bali dan terus menghampiri kekasihnya.

Pasangan itu bersama keluarga mereka kemudian berjalan menuju ke lobi balai polis untuk menyaksikan pelbagai jenis persembahan yang sudah tersedia.

Ritual perkahwinan itu dilaksanakan mengikut adat agama Hindu Bali.

Sementara itu, Bambang berkata kedua-dua pasangan ini sebenarnya sudah lama merancang untuk berkahwin.

Bagaimanapun, dalam proses itu, lelaki tersebut telah ditahan oleh pihak polis kerana kes dadah.

“Oleh kerana sudah lama dirancang, pihak keluarga meminta untuk melaksanakan majlis perkahwinan ini, kami sebagai Polis Denpasar membantu memudahkannya.

“Kita beri ini (keizinan) kerana itu hak mereka, hak banduan, hak semua rakyat untuk berkahwin, jadi kami sediakan kemudahan,” kata Bambang.

Tambahnya lagi, ritual atau rangkaian upacara atau aktiviti lain tidak dibenarkan dijalankan di luar Polis Denpasar.

Selepas majlis akad nikah selesai, pengantin lelaki juga diharuskan segera kembali ke sel tahanan.

BACA: Pilu, Lelaki Tabah Nikahi Isteri Terlantar Sakit Di Hospital Sebelum Meninggal Dunia

Sumber: Detik.com

Sofea

There's always another side to every story