Selain di bumi, ribut juga boleh berlaku di ruang angkasa lepas khususnya di matahari yang memperlihatkan kewujudan fenomena ribut solar.
Malah, Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) telah meramalkan ribut solar ‘gergasi’ berlaku pada bulan lalu dan ia sangat hampir dengan bumi.
Namun, bagaimana ribut solar sebenarnya berlaku dan impaknya kepada bumi? Selain itu, betul ke bumi akan dilanda ribut suria yang dahsyat pada tahun 2025?
Sebelum merungkai lebih lanjut mengenainya, anda perlu tahu bahawa perubahan cuaca juga boleh berlaku di angkasa disebabkan oleh aktiviti matahari.
Bukan seperti cuaca di bumi, cuaca di sana agak unik sedikit kerana ia melibatkan aktiviti matahari seperti nyalaan suria, lentingan jisim korona, angin suria berkelajuan tinggi dan zarah bertenaga suria.
Apa itu ribut solar?
Berbalik kepada ribut solar, ia merupakan istilah yang digunakan untuk kesan pada atmosfera yang dirasai di bumi akibat aktiviti di matahari.
Ribut solar atau ribut suria ini berlaku apabila matahari memancarkan letusan tenaga yang besar dalam bentuk nyalaan suria dan lentingan jisim korona.
Fenomena ini menghantar aliran cas elektrik dan magnet ke arah bumi pada kelajuan kira-kira tiga juta batu sejam.
Apabila ribut suria melanda bumi, kesan yang paling jelas yang dapat dilihat adalah aurora.
Tidak cuma itu, ia juga boleh menganggu satelit dan pelbagai bentuk komunikasi elektronik. Ia bermula dengan letusan besar di matahari.
Letusan yang dipanggil nyalaan suria itu boleh menjadi sekuat berbilion bom nuklear. Ia kebiasaannya berkait dengan pelepasan aliran besar plasma bercas yang bergerak pada jutaan kilometer sejam.
Aliran itu pula dipanggil sebagai lentingan jisim korona atau CME di mana jika ia melanda bumi, ia akan mencetuskan ribut geomagnet yang mengganggu satelit dan grid kuasa elektrik.
Sebagai contoh, pada Februari 2019, CME yang dihasilkan oleh nyalaan suria yang sangat berkuasa telah mengganggu komunikasi radio di seluruh China.
Malah, sesetengah pakar percaya bahawa ribut suria besar boleh menyebabkan kerugian ekonomi 20 kali ganda berbanding bencana taufan.
BACA JUGA: Bumi Diramal Bakal Tenggelam Menjelang 2050? Ini Perlu Anda Tahu
Bumi ada ‘kuasa’ magnetosfera
Jika manusia membina rumah dan bunker bawah tanah bagi melindungi diri, apa pula perlindungan bumi dari cuaca angkasa ini?
Untuk pengetahuan anda, bumi diberi anugerah yang sangat unik iaitu magnetosfera. Ia merupakan kawasan di sekeliling planet yang dikuasai oleh medan magnet planet tersebut..
Kehidupan di bumi kekal berkembang disebabkan oleh perlindungan medan magnetik ini.
Ia melindungi planet kita dari sinaran zarah suria dan kosmik serta hakisan atmosfera oleh angin suria.
Di samping itu, ia juga sebahagian daripada sistem dinamik yang bertindak balas terhadap keadaan suria, planet dan bintang.
Keadaan itu dijana oleh gerakan perolakan besi lebur yang bercas jauh di bawah permukaan dalam teras luar bumi.
Serangan berterusan oleh angin suria memampatkan bahagian medan magnet kita yang menghadap matahari.
Ia berjarak enam hingga 10 kali jejari bumi. Manakala sisi medan yang tidak menghadap ke matahari memiliki ekor magnet berjarak 100 kali jejari bumi.
Pun begitu, jika berlakunya gangguan pada magnetosfera ini, akan wujudnya satu lagi ribut yang dipanggil sebagai ribut geomagnet.
Persoalannya, bagaimana pula ribut geomagnet ini boleh berlaku dan apakah kesannya kepada bumi?
Untuk mengetahui mengenainya, anda boleh menonton video Astro Lab di bawah ini.
Sumber: Astro Lab