Siakap Keli
diramal bakal tenggelam
Gambar Via Google

Bumi Diramal Bakal Tenggelam Menjelang 2050? Ini Perlu Anda Tahu

Beberapa tahun akan datang, kebanyakan negara di dunia ini diramal bakal tenggelam akibat peningkatan paras air laut yang kritikal termasuk di Malaysia.

Malah, negara jiran kita, Indonesia turut terkesan sehingga ibu negara mereka telah dipindahkan dari Jakarta ke Kalimantan.

Memetik laporan CNA, Jakarta yang mudah dilanda banjir menjadi bandar yang paling cepat tenggelam di dunia iaitu sepantas 10 sentimeter setahun.

Kajian-kajian yang dijalankan oleh pakar juga mendapati kebanyakan bandar di dunia ini diramal bakal tenggelam menjelang tahun 2050.

Persoalannya, adakah bumi akan benar-benar tenggelam? Jika ya, apa punca yang menyebabkan kejadian tersebut?

Menurut Astro Lab, keadaan itu mungkin akan berlaku disebabkan oleh perubahan iklim dan pemanasan global yang telah menyebabkan glasier Thwaites di Antartika mencair.

Menerusi perkongsian di YouTube,  Astro Lab berkata aktiviti manusia dalam urusan seharian telah menyebabkan perubahan iklim terbesar abad ini. Dalam sedekad yang lalu, lapisan ozon semakin meruncing.

Kenaikan paras air laut

Kenaikan paras laut merujuk kepada peningkatan purata paras air di lautan bumi.

Sepanjang abad yang lalu paras laut terus meningkat disebabkan oleh pemanasan sejagat berpunca daripada aktiviti manusia yang meningkatkan gas rumah hijau di atmosfera.

Difahamkan, 40 peratus penduduk di dunia tinggal di kawasan pantai yang padat dengan penduduk.

Oleh itu, kenaikan paras laut akan terus memberikan kesan besar apabila ia mula menyasarkan komuniti pantai. Kadar dan arah perubahan paras laut pula boleh berbeza-beza.

Pelbagai aktiviti manusia dan proses sistem bumi mempengaruhi paras laut hari ini termasuk pembakaran bahan api fosil, aktiviti pertanian dan penebangan hutan.

Tidak cuma itu, pemanasan meningkatkan paras laut dalam dua cara.

BACA JUGA: Dari Jakarta Ke Kalimantan, Ini Rupanya Alasan Sebenar Jokowi Mahu Pindahkan Ibu Negara Indonesia

Pertama, peningkatan purata suhu global terutamanya pemanasan di kutub menyebabkan glasier dan kepingan ais di darat mencair sekaligus meningkatkan paras laut.

Seterusnya, air di lautan mengembang kerana ia menyerap haba daripada atmosfera yang memanas sekaligus mengambil lebih banyak ruang dan membawa kepada kenaikan paras laut.

Perubahan iklim

Untuk pengetahuan, perubahan iklim pula merujuk kepada perubahan jangka panjang dalam suhu dan corak cuaca.

Ia mungkin berlaku secara semula jadi seperti variasi dalam kitaran suria.

Bagaimanapun, sejak abad ke-19 aktiviti manusia telah menjadi pemacu utama perubahan iklim terutamanya disebabkan oleh pembakaran api fosil seperti arang batu, minyak dan gas.

Penipisan lapisan ozon pula mula memuncak pada awal 1980-an di mana saintis mendapati bahawa skala Dobson (unit untuk mengukur ozon) tidak pernah kurang dari 100.

Pada tahun 1988, berlakunya perubahan ketara di mana wujudnya warna kuning dan merah yang lebih banyak terserak pada peta.

bumi akan tenggelam

Bagi yang belum tahu, warna kuning dan merah menandakan terdapat lebih banyak ozon manakala warna ungu dan biru pula adalah di mana terdapat paling sedikit ozon.

bumi akan tenggelam

Pembakaran bahan api fosil pula menjana pelepasan gas rumah hijau yang bertindak seperti selimut yang membaluti bumi sehingga memerangkap haba matahari dan meningkatkan suhu.

Pelepasan gas rumah hijau boleh berlaku disebabkan oleh penggunaan petrol pada kenderaan serta penggondolan hutan juga boleh membebaskan karbon dioksida.

Tempat pelupusan sampah juga adalah sumber utama pelepasan metana terutamanya ketika pembakaran sampah.

Apa itu lapisan ozon?

Ozon adalah gas yang secara semula jadi terdapat di dalam atmosfera kita dan ia mempunyai formula kimia O3 kerana molekul ozon mengandungi tiga atom oksigen.

Kehadiran ozon di atmosfera kemudiannya ditemui dengan menggunakan kaedah pengukuran kimia dan optik.

Kebanyakan ozon iaitu kira-kira 90 peratus terdapat dalam stratosfera yang bermula kira-kira 10 hingga 16 km di atas permukaan bumi dan memanjang sehingga kira-kira 50 km pada ketinggian.

Apa akan berlaku jika lapisan ozon makin nipis?

Ozon di stratosfera menyerap kebanyakan sinaran ultra ungu dari matahari.

Tanpanya, sinaran UV matahari yang kuat akan menstrilkan permukaan bumi.

Ozon turut menapis semua sinaran paling bertenaga UV-C dan kebanyakan sinaran UV-B. Ia hanya menyaring separuh daripada sinaran UV-A.

Tidak cuma itu, kepekatan karbon dioksida meningkat di atmosfera terutamanya akibat daripada pembakaran arang batu, minyak dan gas asli bagi penjanaan tenaga dan pengangkutan.

Keadaan ini sememangnya akan berterusan dan menjejaskan glasier yang berada di Antartika termasuk Glasier Thwaites yang sudah mencair. Nak tahu macam mana glasier tersebut boleh meningkatkan paras air laut di dunia? Jom tonton penerangan Astro Lab di bawah ini. Semoga bermanfaat.

Sumber: Astro Lab

Sofea

There's always another side to every story