Siakap Keli
Gambar Via Utusan

Rebah Pada Rakaat Ke-20, Lelaki Dilapor Meninggal Dunia Ketika Solat Tarawih

Baling – Seorang jemaah lelaki dilaporkan telah meninggal dunia ketika menunaikan solat sunat tarawih secara berjemaah semalam.

Memetik laporan Utusan, kejadian tersebut berlaku di Masjid Tunku Intan Safinaz di Kampung Lanai, Baling, Kedah.

Difahamkan, jemaah yang dikenali sebagai Zamri Saad, 51, itu rebah ketika menunaikan solat tarawih pada rakaat ke-20.

Tidak lama kemudian, arwah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Sementara itu, penduduk kampung, Hashim Osman, 51, berkata arwah berada di saf belakang imam ketika kejadian.

“Ketika rakaat ke-20 sebelum tahiyat akhir, tiba-tiba arwah rebah. Jemaah sempat menghabiskan solat dan terus mendapatkan arwah yang ketika itu sedang nazak dan mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah,” katanya.

Tambahnya lagi, arwah telah memaklumkan dia tidak boleh makan masakan kurma kambing ketika berbuka puasa di masjid itu.

Pun begitu, dia meminta kebenaran untuk membawa balik sedikit lauk itu untuk anak-anaknya.

“Arwah juga ada mengadu pada jemaah lain dia sakit dada,” ujar Hashim.

Dalam pada itu, isteri arwah, Rohani Mohd. Noor, 51, berkata dia tidak menyangka suaminya meninggal dunia selepas pertama kali berbuka puasa di masjid itu pada Ramadan tahun ini sebelum meninggal dunia.

“Semalam, arwah berpeluang ke masjid untuk berbuka puasa kerana sebelum ini dia hanya berbuka puasa di rumah bersama anak-anaknya seramai tujuh orang.

“Arwah tergerak untuk berbuka puasa di masjid serta solat tarawih dan arwah mengajak saya mengikutnya tetapi saya tidak mengikutnya kerana saya mahu solat di surau berdekatan,” katanya.

Menurutnya lagi, insiden yang menimpa suaminya itu telah dimaklumkan kepadanya oleh abang arwah.

Dia kemudian mengajak anak keduanya, Nazirol Zamri, 20 ke masjid untuk melihat keadaan arwah dan dimaklumkan bahawa suaminya telah meninggal dunia.

“Arwah sentiasa bangun sekitar pukul tiga pagi setiap malam Ramadan untuk menunaikan solat sunat sehinggalah waktu bersahur.

“Sejak sakit jantung beberapa tahun lalu, suami saya tidak pernah tinggal solat sehinggalah ke saat akhirnya,” katanya.

Sumber: Utusan

Sofea

There's always another side to every story