Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Remaja Lelaki Melecur 80 Peratus Terkena Renjatan Elektrik Meninggal Dunia

Remaja Lelaki Melecur 80 Peratus
Kredit: Bernama

ALOR SETAR, 21 Okt (Bernama) -- Seorang remaja lelaki yang terkena renjatan elektrik ketika menyertai perarakan tokong sayur di Mergong di sini pada 13 Okt lepas meninggal dunia hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Syed Basri Syed Ali berkata mangsa yang berusia 16 tahun dan mengalami kecederaan melecur kira-kira 80 peratus pada seluruh badan itu disahkan meninggal dunia pada 2.52 pagi di Hospital Sultanah Bahiyah di sini.

“Proses bedah siasat ke atas mangsa akan dijalankan bagi mengetahui punca kematian dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

“Dua lagi mangsa berusia 17 tahun mengalami kecederaan melecur 20 peratus pada tangan serta 40 peratus pada muka dan tangan, kini telah sedar. Mangsa yang melecur 20 peratus dibenarkan pulang manakala seorang lagi masih menerima rawatan di hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 13 Okt lepas, polis menerima panggilan telefon pada 9.20 malam memaklumkan tiga individu cedera akibat terkena renjatan elektrik ketika membawa bendera semasa perarakan berlangsung.

Syed Basri berkata seorang daripada mangsa memaklumkan tiang bendera yang dibawa tersentuh talian utama bekalan elektrik pada ketinggian dianggarkan 10 meter menyebabkan dia dan dua lagi mangsa terkena renjatan.

Intipati
  • Remaja lelaki 16 tahun meninggal dunia selepas melecur 80 peratus akibat renjatan elektrik.
  • Kejadian berlaku ketika tiga individu membawa bendera dalam perarakan tokong sayur di Mergong.
  • Dua lagi mangsa berusia 17 tahun cedera melecur, seorang masih menerima rawatan hospital.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan