Siakap Keli

Fortifikasi Zat Besi & Asid Folik Ke Dalam Tepung Gandum, Selaras Cadangan WHO – Khairy

Kerajan setuju untuk melaksanakan fortifikasi tepung gandum 25 kilogram dan ke bawah secara mandatori dengan dua penambahan kandungan penting.

Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, fortifikasi ini adalah untuk memastikan paras zat besi dan asid folik dalam tepung gandum selaras dengan cadangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Difahamkan, merujuk cadangan WHO, 6.0 miligram (mg) bagi zat besi dan 260 mikrogram (ug) bagi asid folik dalam setiap 100 gram (g) tepung gandum.

“Pada masa ini, secara umumnya zat besi dan asid folik tidak ditambah ke dalam tepung gandum pek 25 kilogram (kg).

“Kedua-duanya hanya ditambah ke dalam tepung pek 1 kg secara sukarela dengan paras yang berbeza-beza dan lebih rendah dari paras yang dicadangkan.

“Cadangan fortifikasi secara mandatori ini akan memastikan paras zat besi dan asid folik dalam tepung gandum 25 kg dan ke bawah adalah seragam,” jelasnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Memetik kenyataan itu, kekurangan zat besi dan juga asid folik boleh akibatkan kecacatan kekal dalam kalangan bayi seperti Neural Tube Defect (NTD) dan Anemia.

Untuk makluman, NTD adalah masalah pembentukan dan tumbesaran saraf bayi semasa di dalam kandungan yang boleh menyebabkan bayi dilahirkan dengan tahap kesihatan yang kurang baik.

Antara masalah yang mungkin dihidapi adalah tempurung kepala yang tidak lengkap (anencephaly), tumbesaran otak yang terencat dan pembentukan tulang belakang yang tidak sempurna (spina bifida).

“Masalah ini seterusnya akan tingkatkan lagi kos rehabilitasi dan pengurusan pesakit, mengurangkan kualiti kehidupan dan boleh menyebabkan kematian.

“Anemia pula adalah keadaan di mana kepekatan hemoglobin (Hb) dalam sel darah merah adalah rendah.

“Hal ini boleh menyababkan kelahiran pra-matang dan menjejaskan perkembangan mental, fizikal  dan kognitif yang seterusnya akan menyebabkan masalah kurang berat atau terbantut,” tambah kenyataan itu.

Sumber: Khairy Jamaluddin, KKM.

 

Faiz Mustafa