Sebuah keluarga di Esko, Minnesota di US secara rasminya diiktiraf sebagai keluarga tertinggi di dunia dengan memiliki ketinggian purata 203.29 sentimeter.
Ketua keluarga tersebut, Scott Trapp memiliki ketinggian setinggi 202.7 sentimeter, manakala dua anak perempuannya, Savanna dan Molly masing-masing setinggi 203.6 sentimeter dan 197.26 sentimeter.
Sementara itu, isterinya, Krissy Trapp pula menganggap dirinya merupakan yang terpendek dalam keluarga kerana memiliki ketinggian hanya 191.2 sentimeter.
Manakala anak bongsu mereka, Adam Trapp pula merupakan ahli keluarga yang paling tinggi dengan ketinggian setinggi 221.71 sentimeter.
Menurut Oddity Central, jika digabungkan kesemua ahli keluarga unik berkenaan, jumlah panjang mereka dipercayai bersamaan separuh gelanggang tenis.

BACA JUGA: Ibu Tekad Berhenti Kerja, Bawa Keluarga Mengembara Satu Dunia & Hidup Secara ‘Nomad’
Dapat idea ‘tembusi’ rekod dunia
Menurut Adam, dia mendapat idea untuk mencuba nasib dalam Rekod Guinness sebagai keluarga tertinggi di dunia satu masa dahulu.
Difahamkan, seluruh ahli keluarganya merujuk kepada seorang doktor ortopedik di Pusat Kesihatan Essentia, Dr, Anna Sudoh bagi mengukur ketinggian mereka secara rasmi.
Sebagai langkah pengukuran yang rasmi, setiap daripada mereka perlu diukur sebanyak tiga kali sepanjang hari, sama ada berdiri atau berbaring bagi mendapatkan bacaan ukuran.
Bagaimanapun difahamkan, keluarga tersebut juga turut mengalami beberapa siri kesakitan – yang mungkin jarang dirasai orang lain – sehingga meninggalkan kesan regangan yang dapat dilihat pada badan.
Savana yang juga anak perempuan pasangan itu mendakwa, dia pernah ‘membesar’ sebanyak satu inci setengah hanya dalam satu bulan.

Walaupun dianugerahkan dengan ketinggian yang unik, namun keluarga Trapp tidak dapat lari daripada masalah-masalah berkaitan ketinggian mereka.
Difahamkan, mereka agak sukar untuk membeli barangan keperluan peribadi seperti pakaian dan kasut gara-gara faktor saiz yang berbeza berbanding orang biasa.
Namun di sebalik itu, mereka kekal optimis bahawa menjadi individu yang lebih tinggi berbanding manusia lain dipercayai banyak memberikan kelebihan.
Semasa membesar dahulu, anak-anak Trapp sentiasa direkrut oleh pihak kolej untuk bermain bola keranjang dan bola tampar.
Salah seorang jurulatih mereka pernah berkata secara terbuka, “Ketinggian tidak boleh diajar,”.
Kesimpulannya, mereka semua bersetuju bahawa ketinggian unik tersebut lebih banyak membantu berbanding menyusahkan.
Bagi Savanna, orang lain tidak memiliki kelebihan sepertinya dan itu membuatkannya gembira dalam menerima ‘siapa’ dirinya.
Sumber: Oddity Central