Siakap Keli
tangmo
Gambar Via Bangkok Post

Siasatan Selesai, Polis Sahkan Tangmo Bukan Mati Dibunuh Sebaliknya Disebabkan Kecuaian

Selepas siasatan selama berbulan-bulan ke atas kematian pelakon Thailand, Nida “Tangmo” Patcharaveerapong selesai, pihak polis akhirnya membuat kesimpulan bahawa mendiang meninggal dunia disebabkan lemas dan kecuaian rakan-rakannya.

Memetik laporan The Thaiger, lima rakannya dan seorang lelaki yang didakwa melatih mereka telah didakwa dengan pelbagai kesalahan termasuk kecuaian yang membawa kematian.

Mereka juga menghadapi pertuduhan kerana berbohong kepada pihak polis serta menyembunyikan bukti.

Dalam sidang media khas di ibu pejabat Wilayah Polis Wilayah 1 di Bangkok, polis mengumumkan bahawa pertuduhan ke atas enam suspek itu dan membentangkan ringkasan siasatan yang dilakukan oleh mereka.

Ketua Polis, Leftenan Jeneral Jiraphat Phumphichit berkata pihak polis gagal membuktikan bahawa ada kemungkinan berlakunya pembunuhan dalam kes ini.

Sebaliknya, mereka membuat kesimpulan bahawa kematian aktres itu adalah disebabkan kecuaian seseorang di atas bot, tetapi gagal mengenal pasti suspek mana yang harus dipersalahkan.

Ia kemalangan, bukan pembunuhan

Dalam erti kata lain, ia adalah satu kemalangan, bukannya pembunuhan yang dirancang.

“Tangmo tidak jatuh ke dalam sungai dengan sengaja, tetapi ada seseorang yang cuai sehingga menyebabkan kematiannya,” katanya.

Menurutnya lagi, hanya seorang suspek sahaja yang mendakwa bahawa Tangmo telah pergi ke belakang bot untuk kencing.

Manakala, suspek lain tidak menyebut mengenai perkara itu dalam keterangan mereka.

Bagaimanapun, pihak polis tidak menyatakan sama ada dakwaan suspek itu benar atau palsu dan mereka juga tidak menuduhnya memberikan kenyataan palsu.

Polis juga mengesahkan bahawa masa yang ditunjukkan pada gambar yang menunjukkan Tangmo dan pengurusnya bergambar di atas bot dihadapan Jambatan Rama VII itu memang masa yang tepat dan tidak disunting.

Semasa pembentangan selama sejam, polis menunjukkan video berdurasi 30 minit yang merangkumi tiga bahagian.

Mereka membentangkan garis masa terperinci ketika kejadian termasuk analisis laluan bot mengikut GPS serta pelbagai imej yang diambil dari telefon dan rakaman CCTV aktres itu.

Sementara itu, Jiraphat menegaskan bahawa kes itu sudah selesai dan tiada gunanya membuat siasatan lanjut.

Bukti terkumpul berkaitan kes itu telah diserahkan kepada pendakwa raya dalam bentuk lapan fail besar yang mengandungi 335 keping bukti.

Ia termasuk 47 dokumen daripada dua laporan bedah siasat, 88 keping bukti fizikal, 200 video termasuk rakaman daripada 70 kamera CCTV dan 2,000 dokumen dengan hampir 2,500 muka surat.

Terdahulu, Tangmo dilaporkan telah terjatuh dari bot laju dan lemas di Sungai Chao Phraya berhampiran wilayah Nonthaburi di utara Bangkok.

Ketika kejadian, terdapat lima orang rakan termasuk pengurus yang berada di atas bot bersamanya.

Sumber: The Thaiger

Sofea Shahira

There's always another side to every story