Siakap Keli
rumah terbakar kuantan

Bomba Pahang Siasat Punca Letupan Kebakaran, Termasuk Akibat Mercun, Bunga Api

KUANTAN, 28 April – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang akan menyiasat dari pelbagai aspek punca letupan kebakaran dua rumah jenis Semi-D setingkat di Jalan Permatang Badak Perdana 2 di sini, awal pagi tadi, termasuk kemungkinan disebabkan pembakaran mercun dan bunga api.

Pengarahnya Datuk Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata sehingga kini pihaknya belum dapat mengesahkan punca letupan itu kerana terdapat beberapa bahan yang boleh menyebabkan berlakunya letupan.

“Kalau kita lihat dalam kejadian ini, mungkin ada satu bahan yang menyebabkan berlaku letupan sama ada dari dapur masak gas atau bahan-bahan lain dan kita masih siasat.

“Kita akan jalankan siasatan terperinci supaya dapat pengesahan apa yang sebabkan punca letupan, kalau saya tengok ada selinder gas, bahan bunga api …kalau betul bunga api dan mercun banyak mana kapasitinya sehingga menyebabkan kejadian letupan yang begitu teruk,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.

Dalam kejadian pada kira-kira 3 pagi itu, seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut, lima lagi cedera termasuk bayi lapan bulan manakala tiga lagi selamat.

Sementara itu, saksi kejadian Faridah Mamat, 56, berkata beliau terdengar bunyi letupan kuat sebanyak dua kali ketika sedang memasak juadah sahur pada kira-kira 3 pagi tadi.

Katanya ketika letupan kedua, beliau bergegas keluar dari rumah dan melihat api sudah mula marak dan kedengaran jirannya meminta tolong, namun tiada sesiapa yang berani menghampiri kerana bimbangkan keselamatan diri.

“Api kelihatan sangat marak, rasa macam duduk di tempat perang, nak tolong pun kami takut, semua hanya duduk di depan rumah masing-masing sementara tunggu kedatangan bomba.

“Bagaimanapun, jiran saya iaitu pasangan suami isteri dan bayi mereka berusia lapan bulan yang cedera di dahi berjaya menyelamatkan diri dan saya bawa mereka ke hospital untuk mendapatkan rawatan,“ kata peniaga itu yang telah menetap di situ sejak lapan tahun lepas.

BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang