Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

”Nyaman Tidak Terlalu Sejuk Pada Malam..” Ini Tanda-Tanda Hadirnya Lailatul Qadar Menurut Hadith

Pejam celik pejam pelik, kita telah berada hampir di penghujung 10 hari terakhir Ramadhan. Rasanya seperti baru seminggu berpuasa, tetapi bulan yang mulia ini semakin dekat meninggalkan kita.

Pastinya, setiap mukmin  bercita-cita untuk mendapatkan malam yang lebih baik dari 1000 bulan iaitu malam Lailatul Qadar yang penuh dengan kelebihan.

Alangkah beruntungnya sesiapa yang berjaya ‘ditemukan’ dengan malam ini kerana Malaikat dan Jibril turun pada malam tersebut. Imam Qurtubi berkata: “Mereka turun daripada setiap langit dan juga Sidratul Muntaha ke langit dunia untuk mengaminkan doa orang yang memohon pada malam tersebut hingga waktu fajar.” (1)

Gambar hiasan. (Gambar: Life In The North Woods)

Tanda-tanda Lailatul Qadar

Sebahagian para ulama telah menyebut dalam kitab masing-masing berkenaan dengan sebahagian tanda dan alamat yang mungkin dapat dilihat oleh sebahagian hamba Allah yang diizinkannya pada setiap tahun daripada bulan Ramadan.

Ini kerana, banyak hadis dan pengkhabaran orang soleh serta riwayat mereka yang telah membincangkan alamat tersebut, antaranya:

1. Ubadah bin al-Somit R.A berkata secara marfu’:

“Sesungguhnya malam tersebut bersih terang, seolah-olah bulan yang menerangi tenang, nyaman tidak terlalu sejuk pada malam tersebut dan tidak terlalu panas dan tiadalah tempat bagi bintang untuk dilihat dengannya hingga ke waktu pagi. Dan daripada tandanya bahawa matahari pada waktu paginya keluar dalam keadaan tidak bercahaya dengan kepanasan seperti bulan penuh purnama dan syaitan tidak ada tempat untuk keluar bersamanya pada hari tersebut. Lihat Umdah al-Qari 11/134.

2. Daripada Ubay bin Kaab R.A menyatakan daripada Nabi SAW, sabdanya yang bermaksud:

“Sesungguhnya matahari terbit pada hari tersebut tidak mempunyai cahaya dan kepanasan.”

3. Mengikut riwayat daripada ucapan Ibn Mas’ud berkata:

“Sesungguhnya matahari keluar setiap hari antara dua tanduk syaitan, kecuali pagi malam qadar.” Lihat Umdah al-Qari 11/134.

Seperkara yang penting ialah, jika seseorang mengetahui dan memanjangkan malam itu adalah Lailatulqadar adakah perlu diwarwarkan atau disembunyikannya?

Dalam hal ini, jumhur ulama bersepakat bahawa sunat bagi siapa yang melihat pada malam qadar untuk menyembunyikannya. Lihat Fath al-Bari 4/268 dan al-Majmu’ 6/461.

Antara hikmah disembunyikan malam Lailatulqadar adalah seperti yang disebut oleh Ibn Hajar. Beliau menukilkannya daripada Kitab al-Hawi“Bahawa ia merupakan Karamah (kemuliaan). Hendaklah disembunyikannya (malam Lailatulqadar) tanpa khilaf antara ahli Tariq (orang yang menemui Lailatulqadar) dari memandang kepada jiwa kerana dibimbangi akan dibuang nikmat, lebih besar daripada itu akan berlaku riyak kepada ahli Tariq. Mengikut adabnya pula, janganlah ia sibuk menceritakan nikmat Allah iaitu pertemuan malam Lailatulqadar untuk diwar-warkan kepada manusia kerana dibimbangi berlaku hasad dengki.”

Ibn Hajar al-Asqalani berkata: “Diambil hak tersebut berdasarkan ucapan Yaaqub kepada anaknya Yusuf, tatkala bermimpi melihat bintang matahari dan bulan sujud kepadanya.” Firman Allah SWT:

قَالَ يَا بُنَيَّ لا تَقْصُصْ رُؤْيَاكَ عَلَى إِخْوَتِكَ فَيَكِيدُوا لَكَ كَيْدًا إِنَّ الشَّيْطَانَ لِلإنْسَانِ عَدُوٌّ مُبِينٌ

Maksudnya: Bapanya berkata: “Wahai anakku! Janganlah engkau ceritakan mimpimu kepada saudara-saudaramu, kerana aku khuatir mereka akan menjalankan sesuatu rancangan jahat terhadapmu. Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia.”

(Surah Yusuf: 5)

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.