Siakap Keli

Tabung Haji Buka Semua Cawangan Seluruh Negara Esok

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) — Semua 123 cawangan Lembaga Tabung Haji (TH) di seluruh negara akan beroperasi esok, bagi membolehkan bakal jemaah haji menjawab surat tawaran menunaikan ibadah Haji.

TH dalam kenyataan hari ini memaklumkan ini berikutan pengumuman TH untuk melanjutkan tarikh menjawab surat tawaran menunaikan haji kepada Isnin, 9 Mei 2022.

Pemangku Pengarah Eksekutif Operasi Mohamed Ameen Abdul Wahab berkata bakal haji pada Musim Haji 1443H/2022M boleh menghantar surat terima tawaran haji, buku rekod rawatan setelah pemeriksaan kesihatan dibuat dan pasport antarabangsa ke mana-mana pejabat cawangannya yang akan beroperasi dari pukul 8.45 pagi hingga 4 petang.

“Keputusan ini dibuat bagi memberi kemudahan dan untuk melancarkan urusan bakal jemaah haji walaupun hari Ahad merupakan hari cuti di kebanyakan negeri. Kami berharap bakal jemaah haji dan juga pendeposit dapat memanfaatkan peluang ini.

“Di samping itu, pendeposit juga boleh hadir untuk perkhidmatan simpanan dan pengeluaran serta penukaran status akaun kanak-kanak kepada akaun dewasa,” katanya.

Sebarang pertanyaan boleh dikemukakan kepada Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian +603 – 6207 1919; Faks: +603 – 7728 4959 dan Emel: [email protected]

Sumber: BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.