Siakap Keli
penghantar
Gambar Via Mothership

Hantar Makanan Di Alamat Sama, 5 Penghantar Makanan Kena ‘Sidai’ Dapat Pesanan Palsu

Sejak beberapa tahun lalu, ramai yang mula menggunakan perkhidmatan penghantar makanan dan tidak lagi perlu bersusah payah untuk keluar sendiri membeli makanan.

Bagaimanapun, terdapat banyak kes yang memperlihatkan penghantar makanan ditipu dan terpaksa menanggung kerugian.

Seperti kejadian yang berlaku di Singapura ini, menurut laporan Mothership, sekurang-kurangnya lima penghantar makanan ‘tersadai’ di luar sebuah rumah selepas mendapat pesanan dari situ.

Difahamkan, mereka menghantar makanan ke alamat yang sama di Woodlands pada masa yang serentak.

Pun begitu, tiada seorang pun yang keluar dari rumah tersebut untuk mengambil makanan itu.

Video kejadian tersebut telah dimuat naik dalam media sosial dan menunjukkan beberapa penghantar makanan sedang menunggu di depan lif.

Manakala salah seorang daripada mereka pula dilihat sedang melihat resit beberapa pesanan di atas lantai.

“Hai, saya penunggang Foodpanda, bila kami pergi ke unit ini, tiada siapa yang memberikan maklum balas dan membuka pintu. Kami sepatutnya perlu mendapatkan wang tunai (bayaran).

“Akhirnya, kami semua terpaksa membatalkan pesanan ini kerana ia pesanan palsu,” tulis kapsyen di video itu.

Kejadian seperti ini bukan pertama kali berlaku. Pada Februari 2021, Pasukan Polis Singapura (SPF) menyiasat kejadian serupa di mana beberapa penghantar makanan telah menghantar pesanan ke alamat yang sama.

Jurucakap Foodpanda dalam kenyataan kepada Mothership memohon agar orang ramai lebih bertanggungjawab dan mengambil kira keadaan penghantar makanan yang bekerja keras sepanjang masa.

Sumber: Mothership

Sofea

There's always another side to every story