Siakap Keli
cuaca jangka panjang
Gambar: Kedaulatan Rakyat via Google

Met Malaysia Ramal Cuaca Jangka Panjang Bagi Bulan Mei Hingga Oktober Ini

Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) baru-baru ini mengeluarkan kenyataan mengenai tinjuan cuaca jangka panjang bagi bulan Mei hingga Oktober 2022 ini.

Menurut Met Malaysia, ramalan tersebut dibuat berdasarkan penganalisaan beberapa model tinjuan iklim terpilih seperti NCEP coupled forecast system model version 2 (CFSv2), JMA Ensemble Prediction System (Tokyo Climate Centre), European Centre for Medium Range Weather Forecast (ECMWF) dan Seasonal Climate Forecast, International Research Institute for Climate Society (IRI).

“Antara fenomena global yang mencorakkan cuaca semasa negara adalah seperti El-Niňo Southern Oscillation (ENSO), Madden-Julian Oscillation (MJO) dan Indian Ocean Dipole (IOD).

“Kebanyakan model iklim antarabangsa menunjukkan keadaan terkini ENSO adalah La- Niña dan dijangka berterusan sehingga Ogos 2022 dengan kebarangkalian 59 peratus.

Oceanic Niňo Indeks (ONI) terkini anomali purata suhu permukaan laut bagi Januari, Februari, Mac 2022 adalah pada -0.9 darjah Celcius.

“Anomali suhu mingguan di kawasan pemantauan Niño 3.4 pada 25 April 2022 adalah – 1.0 darjah Celcius, manakala anomali suhu mingguan di kawasan pemantauan lain adalah -1.9 darjah Celcius (di Niño 1+2), -1.0 darjah Celcius (di Niño 3) dan -0.7 darjah Celcius (di Niño 4),” maklum jabatan tersebut dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, tambah Met Malaysia, Fasa Peralihan Monsun telah bermula sejak  14 Mac 2022 dan ia dijangka akan berterusan sehingga pertengahan Mei 2022 ini.

Jelasnya, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah dan sesuai untuk kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat.

“Kejadian ini berlaku terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri-negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak. Corak cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.

“Bagi bulan Mei 2022 keadaan cuaca Negara dijangkakan akan dipengaruhi oleh Monsun Barat Daya. Pada bulan ini kebanyakan negeri di Semenanjung dijangka menerima hujan pada paras purata antara 100 milimeter hingga 350 milimeter kecuali di Selatan Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Pantai Barat Johor yang dijangkakan menerima hujan sedikit bawah purata iaitu 100 milimeter hingga 210 milimeter.

“Sarawak dijangka menerima hujan pada paras purata antara 150 milimeter hingga 400 milimeter kecuali di Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei dan Sibu yang dijangkakan menerima hujan sedikit bawah purata iaitu antara 150 milimeter hingga 200 milimeter. Manakala Sabah dan WP Labuan dijangka menerima hujan pada paras purata antara 100 milimeter hingga 350 milimeter,” jelasnya.

Ramalan Jun

Sementara itu, bagi bulan Jun 2022, kebanyakan negeri di Semenanjung dijangka menerima hujan pada paras purata antara 100 milimeter hingga 300 milimeter. Negeri Sarawak pula dijangka menerima hujan pada paras purata antara 150 milimeter hingga 300 milimeter.

Kebanyakan kawasan di negeri Sabah dijangkakan menerima hujan pada paras purata iaitu antara 100 milimeter hingga 350 milimeter. Manakala W. P. Labuan dijangka menerima hujan pada paras purata antara 250 milimeter hingga 350 milimeter.

Ramalan Julai

“Pada bulan Julai 2022, kebanyakan negeri di Semenanjung dijangkakan menerima hujan pada paras purata antara 100 milimeter hingga 350 milimeter. Negeri Sarawak dijangka menerima hujan pada paras purata antara 150 milimeter hingga 350 milimeter, kecuali di Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei dan Sibu yang dijangkakan menerima hujan sedikit melebihi purata iaitu antara 200 milimeter hingga 300 milimeter.

“Kebanyakan kawasan di negeri Sabah dijangkakan menerima hujan pada paras purata iaitu antara 100 mm hingga 350 mm. Manakala di W.P Labuan dijangka menerima hujan pada paras purata antara 250 mm hingga 350 mm,” maklum jabatan itu.

Ramalan Ogos

Selain itu, bagi bulan Ogos 2022, kebanyakan negeri di Semenanjung dijangka akan menerima hujan pada paras purata antara 50 mm hingga 300 mm, kecuali di Pantai Timur Kelantan dan Utara Terengganu yang dijangkakan menerima hujan sedikit bawah purata iaitu dari 100 mm hingga 200 mm.

Manakala di Selatan Johor dijangkakan menerima hujan sedikit melebihi purata iaitu antara 250 mm ke 350 mm. Negeri Sarawak dijangka menerima hujan pada paras purata antara 150 mm hingga 350 mm, kecuali di Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu dan Kapit yang dijangkakan menerima hujan sedikit melebihi purata iaitu antara 280 mm hingga 400 mm.

Manakala negeri Sabah dan W.P Labuan dijangka menerima hujan pada paras purata antara 100 mm hingga 350 mm.

Ramalan September

Pada Bulan September 2022 pula, kebanyakan negeri di Semenanjung dijangka akan menerima hujan pada paras purata antara 150 mm hingga 350 mm, kecuali di Hulu Perak, Kelantan dan Utara Terengganu yang dijangkakan menerima hujan sedikit bawah purata iaitu antara 150 mm hingga 200 mm.

Di negeri Sarawak Kuching, Betong, Sri Aman, Sarikei dan Sibu dijangkakan menerima hujan sedikit melebihi purata iaitu antara 300 mm hingga 400 mm manakala bahagian lain dijangka menerima hujan pada paras purata antara 200 mm hingga 350 mm. Negeri Sabah dan W.P Labuan dijangka menerima hujan pada paras purata antara 100 mm hingga 350 mm.

Ramalan Oktober

Seterusnya, bagi bulan Oktober 2022, kebanyakan negeri di Semenanjung dijangka menerima hujan pada paras purata antara 150 mm hingga 450 mm.

Negeri Sarawak dijangka menerima hujan pada paras purata antara 200 mm hingga 450 mm. Kebanyakan kawasan di negeri Sabah dijangkakan menerima hujan pada paras purata iaitu antara 100 mm hingga 450 mm.

Manakala W. P. Labuan dijangka menerima hujan pada paras purata antara 350 mm hingga 500 mm.

Sumber: Jabatan Meteorologi Malaysia

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?