Siakap Keli
Gambar via Bernama

Bronok Muar Bakal Rintis Potensi Juadah Kerabu ‘Bronok Selatan’

MUAR, 11 Mei (Bernama) — Penemuan timun laut atau bronok di Sungai Muar baru-baru ini, bukan sahaja membuka ruang penyelidikan kepada saintis tempatan tetapi juga berpotensi menjadi sumber rezeki baharu masyarakat setempat menerusi hidangan juadah kerabu ‘Bronok Selatan’.

Kajian awal mendapati bronok atau nama saintifiknya Acaudina molpadioides di Sungai Muar itu amat mirip dengan spesis bronok di Pulau Langkawi, satu daripada makanan laut yang mengangkat pulau lagenda itu sebagai destinasi penggemar hidangan berasaskan timun laut.

Melalui penemuan haiwan itu oleh ‘saintis rakyat’ terkenal Mohd Ilham Norhakim Lokman dan penyelidikan lanjut oleh Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), populariti Pulau Langkawi disebabkan haiwan daripada keluarga gamat laut itu akan dikongsi dengan Muar selepas ini.

Ketua Penyelidik Dr Kamarul Rahim Kamarudin berkata kajian dijalankan Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi UTHM dengan kerjasama komuniti nelayan dan peniaga makanan laut tempatan, bertujuan membantu komuniti setempat menjadikan bronok sebagai sumber rezeki selain melihat pontensi haiwan itu diternak di muara sungai.

“Bronok atau nama saintifiknya Acaudina molpadioides juga dikenali sebagai kentang laut kerana bentuknya seperti ubi kentang yang membiak di ekosistem laut,” katanya ketika ditemui Bernama di UTHM Kampus Pagoh, dekat sini.

Menurut Kamarul lagi, sekiranya bronok berkenaan mampu diperolehi dalam kuantiti banyak di Sungai Muar, tidak mustahil satu hari nanti wujudnya ‘Bronok Selatan’ atau ‘Bronok Muar’ dan penggemar juadah istimewa berasaskan gamat ini tidak lagi perlu ke Pulau Langkawi untuk menikmatinya.

Kamarul berkata oleh kerana kerabu bronok yang disebut ‘Salad Timun Laut’ dalam kalangan pelancong luar negara menjadi daya tarikan tambahan ke Pulau Langkawi maka Muar juga berpotensi popular dengan kerabu bronoknya sendiri.

“Juadah kerabu bronok dianggap mengandungi khasiat seakan sama seperti gamat emas iaitu bahan utama dalam penghasilan produk tradisional berasaskan gamat yang dapat membantu penyembuhan luka serta rejuvenasi.

“Populariti kerabu bronok di Pulau Langkawi mencetuskan idea untuk memperkenalkan juadah kerabu bronok di Muar kelak selepas mendapat maklumat terkini (berasasakan kajian) mengenai kehadiran spesis itu di muara Sungai Muar.

“Berdasarkan pemerhatian pada ciri luaran atau kajian sampel bronok yang diperolehi dari muara Sungai Muar, ternyata amat mirip dengan ciri Acaudina molpadioides dan juga bahan utama kerabu bronok yang digunakan di Pulau Langkawi,” katanya.

Menurutnya, bagi memastikan bahawa spesis timun laut itu adalah benar-benar bronok seperti spesis Pulau Langkawi, pengekstrakan osikel atau tulang kecil daripada tisu sampel dilakukan untuk mengenal pasti bentuk yang terkandung pada rumusan dan status spesis itu dijangka diketahui pada tahun ini juga.

“Kaedah penjujukan DNA juga akan dijalankan untuk mendapatkan kesimpulan akhir tentang status spesis sampel berkenaan,” katanya.

Kamarul berkata memandangkan Muar terkenal dengan beberapa jenis makanan tempatan yang unik termasuk juadah berasaskan tiram, maka pengenalan kerabu bronok sebagai menu tambahan dijangka  merancakkan lagi sektor pelancongan tempatan.

“Dengan memperkenalkan dan mempopularkan kerabu bronok di Muar, orang ramai akan mempunyai tambahan satu destinasi pilihan untuk menikmati juadah kerabu bronok iaitu Muar di bahagian selatan Semenanjung Malaysia,” tambahnya.

— BERNAMA

Faiz Mustafa