Kerajaan tidak menolak kemungkinan membenarkan pelarian berdaftar bekerja dalam sektor pekerjaan kotor, berbahaya dan sukar (3D) bagi memenuhi keperluan tenaga kerja negara, khususnya dalam sektor ekonomi yang berdepan kekurangan pekerja.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, cadangan itu masih dalam penelitian dan antara perkara yang boleh dipertimbangkan ialah menggunakan data kira-kira 225,000 pelarian berdaftar di bawah Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Katanya, data berkenaan boleh diteliti bagi mengenal pasti pelarian dalam lingkungan umur produktif, khususnya mereka yang berusia antara 20 hingga 30 tahun, selain menjalani proses tapisan sebelum potensi mereka dinilai untuk memenuhi keperluan tenaga kerja.
Menurutnya, pendekatan itu boleh menjadi satu pilihan selain pengambilan pekerja dari luar negara, sekali gus membantu mengurangkan kos berkaitan proses pengambilan pekerja asing.
“Di satu sisi lain, kita ada 225,000 yang UNHCR kata berstatus pelarian. Depan mata kita. Jadi, idea besar ini, idea besar, belum jalan lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) di Dewan Rakyat semalam berhubung kemungkinan kerajaan membenarkan pelarian Rohingya yang berdaftar di bawah Program Dokumentasi Pelarian (DPP) bekerja dalam sektor 3D ketika negara berdepan kekurangan tenaga kerja asing.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, kerajaan boleh menilai keperluan tenaga kerja di sesuatu kawasan dengan membandingkan pilihan pengambilan pekerja asing dan potensi pelarian berdaftar yang datanya sudah tersedia.
Beliau memberikan contoh keperluan 100 pekerja di ladang kelapa sawit di Pasir Gudang yang boleh dinilai sama ada dipenuhi melalui pengambilan pekerja dari Bangladesh atau dengan meneliti data pendaftaran pelarian sedia ada.
“Itu keputusan yang akan kita buat. Buat masa ini saya tidak menolak kemungkinan laluannya ke situ bagi memenuhi keperluan tenaga kerja yang real di hadapan kita,” katanya.
Saifuddin berkata, ketika ini terdapat lima sektor ekonomi yang memerlukan pekerja asing, iaitu pembuatan, perladangan, pertanian, pembinaan dan perkhidmatan.
Menurutnya, kekurangan tenaga kerja dalam sektor berkenaan boleh menjejaskan kegiatan ekonomi, terutama bagi pekerjaan seperti mengait buah kelapa sawit dan menyusun bata.
Beliau berkata, Kementerian Ekonomi menetapkan siling pengambilan pekerja asing bagi lima sektor itu tidak melebihi 10 peratus daripada jumlah guna tenaga negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Dengan jumlah guna tenaga sekitar 17 juta orang, siling pengambilan pekerja asing bagi tempoh RMK-13 ditetapkan sebanyak 1.7 juta orang bagi lima sektor berkenaan.
Sementara itu, Utusan Malaysia pada 20 Ogos lalu melaporkan bahawa kerajaan diminta memberikan hak bekerja kepada pelarian dan pencari suaka di negara ini bagi membantu menangani masalah sosial yang membabitkan golongan berkenaan.
Laporan itu turut menyatakan bahawa langkah berkenaan berpotensi menyumbang nilai tambah sekitar RM3 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), selain mengurangkan aliran keluar wang negara melalui kiriman wang pekerja asing.
Bank Negara Malaysia (BNM) merekodkan aliran keluar sebanyak RM32.6 bilion, manakala anggaran Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), termasuk melalui saluran tidak rasmi, mencecah sekitar RM70 bilion.

