KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Kerajaan sedang melaksanakan pendataan ke atas komuniti pelarian di seluruh negara melalui program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) di bawah Arahan MKN No. 23: Dasar dan Mekanisme Pengurusan Pelarian dan Pemohon Suaka (semakan 2023).
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata program yang masih berada di fasa pertama itu memfokuskan kepada individu yang berada di dalam Depot Tahanan Imigresen (DTI).
Beliau berkata ia dijangka beralih ke fasa kedua yang akan memfokuskan kepada pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di luar DTI dalam masa terdekat.
“Selain itu, tujuan pendataan oleh kerajaan ini adalah bagi memastikan kerajaan mampu mengurus, menyelaras dan memantau keberadaan golongan ini secara sementara di dalam negara sebelum dihantar ke negara ketiga atau pulang ke negara asal,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen malam ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian bagi menjawab soalan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) berhubung pendirian kerajaan mengenai institusi luar yang beroperasi di Malaysia seperti UNHCR yang tidak memberikan kerjasama diharapkan serta enggan berkongsi data, terutamanya berkaitan pelarian.
Beliau berkata organisasi antarabangsa adalah penting kepada Malaysia sebagai platform kerjasama dan perkongsian kepakaran bagi menangani isu rentas sempadan yang tidak dapat ditangani secara bersendirian, di samping membantu memperkukuh kapasiti negara dan mengurangkan beban pengurusan isu kemanusiaan.
Menurut Ahmad Zahid, pendirian itu dapat dilihat melalui pengalaman Malaysia dalam menangani pelarian Vietnam di Pulau Bidong pada akhir 1970-an hingga 1990-an, apabila Malaysia bekerjasama dengan UNHCR dan masyarakat antarabangsa bagi menguruskan kemasukan pelarian, menyediakan perlindungan sementara serta mendapatkan penempatan semula di negara ketiga.
“Pada masa kini, kerajaan juga memerlukan UNHCR bagi menempatkan pelarian di negara ketiga memandangkan negara-negara penerima pelarian menggunakan kad UNHCR sebagai mekanisme bagi pengesahan dan ketulenan pelarian,” katanya.
-- BERNAMA


