Seorang gelandangan ditemui maut selepas dipercayai menggantung diri di sebuah surau di Jalan Ismail, Mersing, awal pagi tadi, lapor Kosmo.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edrward Nuing memetik laporan berkata, siasatan awal polis mendapati kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 8 pagi di surau berkenaan.
Jelasnya, mangsa merupakan seorang lelaki gelandangan disyaki warga tempatan ditemui meninggal dunia kerana menggantung diri dalam ruangan surau berkenaan.
“Lelaki berkenaan ditemui oleh pekerja pembersihan semasa melakukan kerja pembersihan di surau tersebut.
”Mangsa merupakan seorang gelandangan dan semasa ditemui tiada sebarang pengenalan diri dijumpai bersama mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini, memetik Kosmo.
Ujar beliau, siasatan awal pihak polis di tempat kejadian turut mendapati tiada sebarang unsur jenayah ke atas mangsa.
Katanya, mayat mangsa di hantar ke unit forensik Hospital Daerah Mersing bagi tujuan pemeriksaan dan bedah siasat. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Justeru itu, pihak polis menyeru kepada sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh terus menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mohd Farhan Adleed Zukefly di talian 0137495395 bagi membantu siasatan.
Sumber: Kosmo